LONDON, 12 APRIL – Kesan daripada konflik Ukraine, ketidaksamaan yang semakin meningkat dan COVID mungkin memaksa lebih suku bilion orang terjerumus ke dalam kemiskinan tegar pada tahun ini, menurut ramalan Oxfam hari ini.
Pertubuhan amal yang berpangkalan di Britain itu memberi amaran dalam laporan yang diterbitkan sebelum perjumpaan tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu hadapan.
“Anggaran baharu Oxfam menunjukkan 263 bilion orang lagi mungkin dihimpit kemiskinan tegar pada 2022, disebabkan oleh kesan gabungan COVID, ketidaksamarataan dan kemelesetan harga makanan dan tenaga – dipacu oleh peperangan di Ukraine,” menurut Oxfam.
“Negara-negara miskin berdepan dengan krisis hutang dan kuasa pembelian gaji semakin tertekan, sementara keuntungan korporat dan kekayaan jutawan mencecah paras yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.”
Bank Dunia sebelum ini menganggarkan 198 juta orang bakal berdepan kemiskinan tegar – didefinisikan mereka yang meraih kurang daripada AS$1.90 sehari – disebabkan oleh pandemik COVID.
Kira-kira 65 juta orang lagi berisiko disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine – termasuk harga tenaga dan makanan yang melambung. – AFP