Susu kambing daripada baka Switzerland

KUANTAN – Bermula dengan membela 10 ekor kambing biri-biri, usahawan Zulkifli Sulaiman kini berdiri megah apabila mampu menghasilkan susu kambing dengan jenama Panching Farm.

Zulkifli, 46, berkata jenama Panching Farm diambil sempena lokasi kandang kambingnya yang terletak di Felda Gugusan Panching, yang kini ‘dihuni’ 100 ekor kambing Saanen selepas mendapat nasihat daripada rakan yang bekerja dalam bidang veterinar untuk menukar jenis kambing peliharaannya.

Katanya, baka Saanen yang berasal dari Lembah Saanen di Switzerland sememangnya terkenal dengan pengeluaran susu berkualiti menyebabkan beliau mengimport kambing baka itu dari Australia bermula tahun 2005. “Susu kambing diperah secara manual dua kali sehari dengan anggaran purata kira-kira 50 ekor sehari dan akan terus diproses iaitu daripada proses pempasteuran hingga dibotolkan di sini.

“Produk susu Panching Farm juga terus dibekukan bagi mengekalkan kesegaran dan pembeli hanya perlu meletakkan susu pada suhu bilik untuk dicairkan sebelum diminum,” katanya kepada media.

Menjual susu kambing 

Zulkifli berkata beliau bersama empat pekerja mampu menghasilkan kira-kira 200 botol susu sehari, dengan proses memerah dilakukan di petak kambing selepas kawasan itu dibersihkan.

Usahawan susu kambing, yang juga pemilik Panching Farm, Zulkifli Sulaiman menunjukkan kambing unik dari baka Saanen, yang mempunyai rambut menutupi keseluruhan kepala ketika tinjauan di Kampung Tanah Belia, Kampung Panching. – Bernama
Pekerja Panching Farm memerah susu kambing ketika tinjauan di Kampung Tanah Belia, Kampung Panching. – Bernama

Beliau yang masih lagi berkhidmat dalam bidang minyak dan gas, mula menjual susu kambing asli pada tahun 2009 dan sejak tiga bulan lepas, menambah susu berperisa coklat, jagung, strawberi dan kurma ke dalam produknya.

Katanya, semua produk tersebut yang dibotolkan dalam kuantiti 250 mililiter dijual pada harga antara RM6 hingga RM6.50.

“Kami mengambil masa yang lama untuk mencari rasa yang sesuai. Pelbagai cubaan dilakukan, dengan keluarga menjadi pengkritik paling hebat sehingga dapat mencari resipi sendiri. Susu Panching Farm tidak mempunyai bau hamis seperti anggapan orang terhadap susu kambing selain menggunakan bahan terbaik seperti perisa kurma yang diperoleh dari Iran,” katanya.

Kualiti susu yang berlemak

Zulkifli juga menyifatkan pemakanan kambing ternakannya yang hanya diberi makan pelepah sawit dan rumput guatemala juga sebagai faktor susu Panching Farm tidak berbau selain baka Saanen sediri terkenal dengan kualiti susu yang berlemak.

Sebagai perancangan masa akan datang, Zulkifli berhasrat menambah produk susu tepung pada pengeluaran Panching Farm kerana sering menerima pertanyaan pelanggan yang beranggapan ia ‘lebih mudah untuk dibawa berjalan’.  Katanya, bukan tidak mahu memasarkan susu Panching Farm ke luar negara, namun enggan ‘memperjudikan’ kualiti produk tersebut menyebabkan susu itu setakat ini, hanya boleh diperoleh daripada stokis dan pasar raya Darul Makmur sekitar Pahang.

Stokis Panching Farm pula, menurut Zulkifli berada di sekitar Melaka, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor. Lumrah orang berniaga, Zulkifli berkata beliau pernah diuji apabila 28 ekor kambing miliknya dicuri sekitar tahun 2016 menyebabkan beliau kerugian lebih RM100,000. – Bernama