Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Suku nomad terakhir bakal lenyap

    AMELLAGOU, MAROC – Di bawah cahaya matahari panas terik di padang pasir Maghribi, suku nomad Berber terakhir, Amazigh, berkata kehidupan tradisional mereka kian terancam ketika perubahan iklim membawa kemarau yang semakin teruk.

    “Segala-galanya telah berubah,” kata Moha Ouchaali, bahagian mukanya yang berkedut ditutup oleh serban hitam. “Saya tidak mengenali diri saya lagi di dunia hari ini. Malah alam semula jadi juga berpaling tadah terhadap kami.”

    Ouchaali, seorang lelaki Amazigh dalam umur 50an, telah mendirikan perkhemahan berdekatan dengan sebatang sungai kering di kawasan bukit tandus kira-kira 280 kilometer dari timur Marrakesh.

    Di tengah landskap berbatu-batan dan gersang berhampiran kampung Amellagou, dia dan keluarganya telah mendirikan dua khemah hitam diperbuat daripada bulu kambing biri-biri, berlapikkan beg makanan haiwan lama dan perca kain.

    Satu digunakan untuk ruang tidur dan menerima tetamu, yang satu lagi berfungsi sebagai dapur.

    Moha Ouchaali duduk dalam khemahnya berhampiran kampung Amellagou. – AFP
    Seorang budak lelaki bergambar ketika duduk di atas barang kepunyaannya di kawasan padang pasir berdekatan kampung Amellagou. – AFP
    Seorang wanita Amazigh menjerang air untuk membuat teh di luar khemah. – AFP
    Wanita Amazigh mendirikan khemah di tapak perkhemahan berdekatan kampung Amellagou. – AFP

    “Air semakin sukar dicari. Suhu juga meningkat dan kemarau adalah amat teruk, tetapi kami tidak terdaya melakukan apa-apa,” ujar Ouchaali.

    Puaknya, Ait Aissa Izem, telah menghabiskan berkurun-kurun berkelana di seluruh negara untuk mencari makanan untuk haiwan mereka, namun cara hidup mereka kini beransur-ansur lenyap.

    Menurut bancian terakhir, hanya 25,000 orang di Maghribi adalah suku nomad pada 2014, berkurangan sebanyak dua pertiga dalam masa satu dekad sahaja.

    “Kami rasa letih,” kata isteri Ouchaali yang berusia 45 tahun, Ida, dengan nada penuh emosi.

    “Sebelum ini, kami boleh hidup dengan baik, tetapi dengan kemarau berpanjangan dan semakin teruk, kehidupan kami tambah rumit. Tanpa air, kami tidak dapat melakukan apa-apa.”

    Tahun ini telah melihat kemarau paling teruk di Maghribi dalam empat dekad.

    Turunan hujan dijangka berkurangan sebanyak 11 peratus dan suhu purata dijangka naik sebanyak 1.3 peratus menjelang 2050, menurut ramalan dari Kementerian Pertanian.

    “Penduduk nomad sentiasa dilihat sebagai pengukur perubahan iklim,” kata pakar antropologi Ahmed Slounti.

    “Sekiranya penduduk berkenaan, biasa hidup dalam keadaan ekstrem, tidak dapat melawan arus pemanasan global, ia bermakna situasi adalah teruk. Sumber air yang kering merupakan kemelut terakhir untuk puak nomad,” tambahnya.

    Dalam masa senang, Ait Aissa Izem akan menghabiskan musim panas di lembah gunung yang sejuk di Imilchil, sebelum merantau ke kawasan sekitar ibu negeri serantau Errachidia pada musim sejuk.

    “Ia adalah sejarah lama,” kata Ouchaali, duduk dalam khemahnya sambil menghirup teh manis Maghribi. “Hari ini kami pergi ke mana-mana tempat yang mempunyai sedikit air, dalam usaha menyelamatkan haiwan ternakan kami.”

    Kekurangan air yang teruk telah mendorong sesetengah nomad mengambil langkah yang luar biasa iaitu mengambil pinjaman untuk memberi makan kepada haiwan ternakan, aset paling penting mereka.

    “Saya telah berhutang hanya untuk membeli makanan untuk haiwan ternakan supaya ia tidak mati kelaparan,” kata Ahmed Assni, 37, ketika duduk di tepi sungai yang hampir kering berdekatan Amellagou.

    Saeed Ouhada berkata keperitan hidup telah mendesaknya mencari tempat tinggal untuk isteri dan anaknya di Amellagou, sementara dia tinggal bersama ibu bapanya di sebuah khemah di pinggir bandar.

    “Kehidupan nomad bukan lagi seperti dulu,” katanya. “Saya meneruskan tradisi ini disebabkan saya terpaksa. Ibu bapa saya sudah tua tetapi mereka enggan tinggal di bandar.”

    Driss Skounti, dipilih untuk mewakili puak nomad di rantau itu, berkata kawasan di sana sebelum ini mempunyai kira-kira 460 khemah. Hari ini, jumlahnya tidak sampai satu persepuluh daripada angka tersebut.

    Beberapa penduduk nomad Maghribi telah meninggalkan gaya hidup lama mereka – bukan sahaja disebabkan iklim yang teruk.

    “Saya sudah bosan berjuang,” kata Haddou Oudach, 67, yang telah mene-tap di Er-Rich pada 2010.

    “Kami telah menjadi orang terbuang daripada masyarakat. Malah saya tidak dapat membayangkan apa yang orang nomad harungi hari ini.”

    Moha Haddachi, ketua persatuan untuk orang nomad Ait Aissa Izem, berkata bahawa perubahan sosial dan ekonomi menjadikan gaya hidup nomad semakin sukar. “Kekurangan padang rumput ternak disebabkan penswastaan tanah dan pelaburan pertanian juga menyumbang kepada kemelut yang kami hadapi,” katanya.

    “Pelabur pertanian kini menguasai ruang di mana penduduk nomad menggunakan tempat tersebut untuk haiwan ternakan meragut rumput mereka.”

    Penduduk nomad juga berdepan tentangan daripada beberapa penduduk kampung, marah dengan mereka yang berkhemah di kawasan kampung meskipun tanah tersebut secara rasminya milik wilayah lain.

    Satu undang-undang telah diluluskan pada 2019 untuk menetapkan kawasan untuk dijadikan padang ragut haiwan ternakan penduduk nomad dan petani.

    Bekas penduduk nomad Oudach berasa putus asa mengenai ‘era di mana semua orang bersikap mementingkan diri dan hanya memikirkan mengenai diri mereka sendiri.’

    “Keadaan bukan seperti ini sebelumnya, kami sentiasa dialu-alukan dan diterima di mana sahaja kami pergi.”

    Memulakan kehidupan sebagai nomad tidak menarik minat golongan muda.

    Houda Ouchaali, 19, berkata dia tidak tahan melihat ibu bapanya ‘menderita dan bergelut hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup.’

    “Generasi baharu mahu memulakan kehidupan baharu,” katanya.

    Kini dia tinggal bersama bapa saudaranya di Er-Rich dan bersedia untuk menjalani latihan profesional yang membenarkannya ‘membina masa depan’ dan melepaskan diri daripada ‘stigma yang sering dilemparkan oleh warga kota terhadap kaum nomad.’

    Driss Skounti tidak menaruh harapan terhadap masa depan kehidupan nomad. “Kehidupan nomad mempunyai identiti dan tradisi yang kaya dengan sejarah,” katanya, “Tetapi bakal lenyap dalam masa 10 tahun.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...