Suku penduduk Itali dikuarantin

MILAN, 8 MAC – Lebih 15 juta penduduk di bahagian utara Itali telah diarahkan kuarantin, selepas pihak kerajaan mengambil langkah drastik untuk menghentikan penularan wabak koronavirus yang telah melanda di seluruh dunia.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte telah menandatangani pelan yang mengehadkan pergerakan keluar dan masuk ke bahagian Utara, termasuk bandar Venice dan bandar pusat kewangan Milan, dalam tempoh hampir sebulan.

Ia masih tidak pasti berapa kuat sekatan tersebut dijalankan dan bagaimana pihak berkuasa menghalang orang ramai daripada meninggalkan kawasan tersebut.

Dalam perintah tersebut, hanya mereka yang ada tujuan ‘serius’ yang tidak dapat ditangguhkan seperti desakan kerja, masalah keluarga, akan dibenarkan untuk keluar dan masuk dari zon kuarantin, yang telah menjejaskan suku daripada penduduk Itali.

Tetapi arahan tersebut tidak menghalang mereka untuk meninggalkan rumah bagi mereka yang tinggal di zon kuarantin termasuk pelancong.

Itali merupakan negara yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi COVID-19 di negara luar China, di mana wabak tersebut telah menjangkiti 100,000 orang di seluruh dunia yang bermula pada bulan Disember lalu. Setakat ini, di seluruh dunia telah mencatatkan 3,500 kematian dan sebahagian besar dicatatkan di China, tetapi COVID-19 telah menagih korban di 95 buah negara dan kawasan termasuk Argentina yang mencatatkan kematian pertama di benua Amerika Latin. – AFP

Gambar menunjukkan kawasan Via Manzoni di tengah Milan sunyi setelah berjuta-juta orang dikerahkan untuk dikuarantin di bahagian utara Itali sebagai langkah kerajaan Itali membendung penularan COVID-19. – AFP