Sukuk Al-Ijarah ke-158 diterbitkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), selaku ejen kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengurus dan mentadbir terbitan Sukuk Al-Ijarah mengumumkan kejayaan penetapan harga terbitan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah ke-158nya yang berjumlah $50 juta.

AMBD dalam kenyataannya hari ini berkata, Sukuk Al-Ijarah siri 158 diterbitkan pada 7 Jun 2018 untuk tempoh 364 hari dengan tempoh matang pada 6 Jun 2019 dengan kadar sewa 1.2500 peratus.

Dengan terbitan tersebut, kerajaan Brunei sehingga ini telah menerbitkan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah bernilai lebih $11.96 bilion sejak tawaran pertama pada 6 April 2006 dan jumlah pegangan sukuk kerajaan Brunei sehingga 7 Jun 2018 ialah sebanyak $332.4 juta.