Sukuk Al-Ijarah ke-185 diterbitkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), selaku ejen kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengurus dan mentadbir terbitan Sukuk Al-Ijarah mengumumkan kejayaan penetapan harga terbitan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah ke-185 yang berjumlah $50 juta.

AMBD dalam kenyataan hari ini berkata, Sukuk Al-Ijarah siri 185 diterbitkan pada 3 September 2020 untuk tempoh 364 hari dengan tempoh matang pada 2 September 2021 dan kadar sewa 0.2500 peratus.

Dengan terbitan tersebut, kerajaan Brunei sehingga ini telah menerbitkan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah bernilai lebih $14.02 bilion sejak tawaran pertama pada 6 April 2006 dan jumlah pegangan Sukuk Kerajaan Brunei sehingga 3 September 2020 ialah sebanyak $373.5 juta.