Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), selaku ejen kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengurus dan mentadbir terbitan Sukuk Al-Ijarah mengumumkan kejayaan penetapan harga terbitan sekuriti Sukuk Al-Ijarah ke-204nya yang berjumlah $50 juta.
BDCB dalam kenyataannya hari ini berkata, Sukuk Al-Ijarah siri ke-204 diterbitkan pada 10 Mac 2022 untuk tempoh 364 hari dengan tempoh matang pada 9 Mac 2023 dan kadar sewa 0.7500 peratus.
Dengan terbitan itu, kerajaan Brunei sehingga ini telah menerbitkan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah bernilai lebih $15.25 bilion sejak tawaran pertama pada 6 April 2006 dan jumlah pegangan sukuk sehingga 10 Mac 2022 ialah sebanyak $305 juta.