Kisah rumah tangga pasangan selebriti Sule dan Nathalie Holscher sebelum ini pernah menjadi perbualan hangat warganet kerana didakwa bergoyah dan hampir bercerai.
Menurut laporan Kompas, Sule bagaimanapun berkata hal itu tidak terjadi disebabkan anak damit dalam kandungan Nathalie yang dianggap sebagai penyelamat ikatan perkahwinan mereka.
“Semasa itu kita masih baharu, maksudnya pernikahan itu terlalu cepat dan masih proses mengenali karakter masing-masing.
“Nathalie pun perlu berdepan banyak beban, menguruskan saya, anak-anak saya, adik-adiknya, pekerja dan lain-lain… mungkin itu punca tekanan.
“Umur dia pun baru 29 tahun di situlah puncak emosi berlaku, akhirnya dia memutuskan untuk tidak terus bergaduh yang boleh menyebabkan pertengkaran.
“Saya memohon maaf kepadanya dan hubungan kami ini diselamatkan oleh anak kecil (dalam kandungan),” katanya semasa ditemu bual YouTube TS Media.
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada November 2020, namun timbul spekulasi mendakwa rumah tangga mereka bermasalah pada April 2021.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama Adzam pada 12 Disember tahun lalu. – Agensi