Sultan Kedah ditabalkan

Gambar oleh Infofoto

ALOR SETAR, Kedah, 22 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia di Anjung Melur, Istana Anak Bukit dialu-alukan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah; Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Diraja Puan Seri Dato’ Nora binti Abdullah; Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah; Yang Teramat Mulia Dato’ Tunku Shazuddin Ariff ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah; serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Haji Mukhriz bin Tun Dr Mahathir dan Tok Puan Norzieta binti Zakaria.

Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menandatangani sebuah lembaran kenangan.

Istiadat Pertabalan Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29 juga dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang; Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan; raja-raja muda dan kerabat diraja; yang dipertua-yang dipertua negeri; perdana menteri Malaysia dan para tetamu khas yang lain, bersama isteri masing-masing.

Istiadat Pertabalan ini dimulakan dengan keberangkatan masuk KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha ke Balairung Seri Besar yang diiringi dengan paluan gong dan nobat ‘Raja Berangkat’.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar. Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan dijunjung bergambar ramai sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Sultan Negeri Kedah Darul Aman ke-29 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar.
DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan beramah mesra bersama KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, kelmarin.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dialu-alukan oleh DYTM Tengku Sarafudin Badlishah dan DYTM Che Puan Muda Zaheeda.
DYTM Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan berangkat tiba di Anjung Melur, Istana Anak Bukit, Kedah Darul Aman.
DYTM Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah berkenan menadahkan tangan semasa Doa Selamat dibacakan sebelum berangkat meninggalkan Alor Setar.
DYTM Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah semasa berkenan melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, kelmarin.
KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin semasa mengucup Keris Kerajaan. Turut berangkat ialah KDYMM Sultanah Maliha semasa Istiadat Pertabalan Baginda, kelmarin.

Semasa Istiadat Pertabalan, Sultan Negeri Kedah Darul Aman berkenan mengurniakan titah bagi melafazkan Surat Sumpah Diraja dan Baginda seterusnya menerima sebilah Keris Kerajaan, ‘Keris Perkasa Alam’ yang disembahkan oleh Ketua Istiadat, Datuk Paduka Seri Maharajalela Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Haji Syed Unan Mashri bin Syed Abdullah.

Pemasyhuran pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian dilafazkan oleh Ketua Istiadat dan disusuli dengan sembah ‘Daulat Tuanku’ dilaungkan tiga kali. Ini diikuti dengan paluan nobat dan sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan.

Istiadat Pertabalan diteruskan dengan persembahan ucapan-ucapan tahniah yang didahului oleh sabda Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah bagi mewakili kerabat diraja Kedah dan diikuti dengan sembah ucapan daripada Menteri Besar Kedah bagi mewakili kerajaan dan rakyat Negeri Kedah Darul Aman.

Istiadat tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sohibus Samahah Datuk Sheikh Fadzil bin Haji Awang.

Istiadat ini mencatatkan detik bersejarah bagi rakyat dan penduduk Negeri Kedah Darul Aman kerana kali terakhir Istiadat Pertabalan bagi Sultan Kedah diadakan adalah pada tahun 1959.

Sebelum Majlis Santap Tengah Hari, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung bersama-sama tetamu khas yang lain untuk sesi bergambar ramai dengan KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman dan KDYMM Sultanah Negeri Kedah Darul Aman.

Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia seterusnya berangkat ke Balai Santapan Besar bagi menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang juga diserikan dengan persembahan muzik.

Selepas menghadiri istiadat pertabalan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan berangkat meninggalkan Alor Setar, Kedah Darul Aman pada sebelah petang.

Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.

Hadir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Negeri Kedah Darul Aman, Haji Isahak bin Murat.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Mohd Taha dan datin.

Sebelum berangkat menaiki pesawat khas, Doa Selamat dibacakan oleh Sheikh Mohamad Fairuz bin Mohammad.

Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia seterusnya berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.