Sumbang 200 hidangan untuk petugas barisan hadapan

Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam telah menaja program Dapur Sosial Society for Community Outreach & Training (SCOT) Brunei untuk menghantar 200 hidangan kepada petugas barisan hadapan yang berusaha menangani penularan COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Australia, sebagai sebahagian daripada program itu, Dapur Sosial mengupah wanita-wanita untuk menyediakan hidangan yang disumbangkan bagi petugas barisan hadapan.

Di samping menyokong petugas barisan hadapan, Dapur Sosial juga bermatlamat untuk menyediakan pelbagai kemahiran berkaitan perniagaan kepada wanita, termasuk menerusi peluang-peluang mempelajari mengenai elemen-elemen pemasaran kempen.

Kenyataan menambah, Dapur Sosial membayar wanita-wanita berkenaan bagi kerja mereka, yang juga memberikan pendapatan tambahan kepada mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, sumbangan tersebut adalah contoh komitmen berterusan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk menyokong Brunei dan jiran-jiran di Asia Tenggara, tatkala seluruh dunia berusaha menangani COVID-19.

Ini merupakan tahun kedua Suruhanjaya Tinggi Australia menyertai program Dapur Sosial, selepas menyumbangkan 500 hidangan kepada petugas barisan hadapan pada Mei 2020.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam telah menaja program Dapur Sosial SCOT Brunei bagi menyokong petugas barisan hadapan yang berusaha menangani penularan COVID-19.
Sebanyak 200 hidangan telah disumbangkan bagi petugas barisan hadapan.