Sumbang 54 komputer riba, Sokong pembelajaran online

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Dalam usaha menyokong pembelajaran dalam talian sekali gus membantu pelajar yang memerlukan, Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd telah menyumbangkan 54 komputer riba.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pendidikan pada majlis yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini. Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd, Dayang Sharidatul Maryani binti Haji Mohd Saidin menyerahkan sumbangan kepada Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Sumbangan kemudian diserahkan kepada Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Selain itu, 41 komputer riba juga telah diterima daripada pelbagai kementerian dan jabatan.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Keselamatan Siber, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Pembangunan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak; Pemangku Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar serta pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Pendidikan dan Syarikat Brunei Metanol Sdn Bhd.

Kempen derma untuk mengumpulkan peranti-peranti ICT bagi menyokong pembelajaran dalam talian pelajar yang memerlukan akan dibuka sehingga 14 Mei depan.

Dayang Sharidatul Maryani menyerahkan sumbangan berupa replika cek bagi 54 komputer riba kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib di kementerian berkenaan kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika menyerahkan sumbangan kepada Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati – Gambar oleh Rahwani Zahari