Sumbang barangan elektrik untuk petugas barisan hadapan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan yang menaburkan bakti ke arah menangani penularan wabak pandemik COVID-19, Intracorp Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berupa barangan elektrik jenama Beko kepada Kementerian Kesihatan, yang dihasratkan untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Sumbangan berkenaan merupakan pelbagai peralatan elektrik termasuk lima unit Beko Tumble Dryer (Air Vented) 7kg, tiga unit Beko 2 Door Fridge 270L dan satu unit Beko Front Load Washer 10kg yang diserahkan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Barangan yang bernilai kira-kira $7,841 keseluruhannya itu disampaikan oleh Ketua Pemasaran Intracorp, Lolita Carman Bito-on kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat 1 selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari.

Sementara itu, Intracorp menyatakan bahawa bermula 1 Mei hingga 31 Julai, Beko melancarkan kempen global terbaharunya iaitu Live Like a Pro (LLAP) di Negara Brunei Darussalam yang mana ia merupakan kempen kesinambungan selepas kejayaan inisiatif global Eat Like a Pro (ELAP) yang menumpukan kepada mendidik kanak-kanak untuk makan secara sihat dan menangani masalah obesiti global. Manakala itu, LLAP pula mengambil kaedah holistik dalam memberikan inspirasi kepada gaya hidup yang lebih sihat bukan sahaja menumpukan kepada tabiat pemakanan. Dengan keadaan dunia berhadapan pandemik, COVID-19, lebih ramai penduduk dunia menghabiskan lebih banyak waktu mereka di rumah oleh itu, pendekatan holistik LLAP amat bertepatan dalam keadaanyang luar biasa ini.

Sehubungan dengan itu, sebagai sebahagian daripada kempen LLAP di Brunei, Beko akan berkongsi tip dan kaedah untuk terus menetap di rumah. Beko juga terus memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan barangan Beko yang dapat membantu mereka untuk terus bersemangat dalam menghadapi masa mencabar ini.

Pada masa yang sama, pada penghujung kempen berkenaan, Beko akan menyumbangkan sebanyak 0.5 peratus hasil semua jualan sepanjang kempen kepada Kementerian Kesihatan.

Haji Abdul Khalid As’ari (kiri) menerima sumbangan barangan elektrik yang disampaikan oleh Lolita (tengah) pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.