Sumbang kit ART, sokong petugas barisan hadapan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 8 DIS – Untuk membantu usaha yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan dengan memastikan keselamatan dan kesihatan mereka, dua buah syarikat telah mengunjungi pelbagai pusat penting di Daerah Belait untuk menyerahkan sejumlah kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 New Gene (Hangzhou) Bioengineering.

Kedua-dua syarikat berkenaan, Eng Hong dan Yi Eco-modern Solutions Sdn Bhd, telah mengunjungi Hospital Suri Seri Begawan dan Pusat Pengasingan Chabel 6 pada 18 November lalu untuk menyerahkan kit ART.

Hadir untuk menyerahkan kit berkenaan kepada setiap pusat ialah Ketua Eksekutif Yi Ecomodern Solutions Sdn Bhd, Dr Yong Chee Tuan dan pemilik Eng Hong, Philip Yeo serta diiringi oleh kakitangan masing-masing.

Dalam menyerahkan kit tersebut kepada kedua-dua hospital dan pusat pengasingan, syarikat-syarikat itu telah menekankan kepentingan menyokong pekerja penjagaan kesihatan dan petugas barisan hadapan walaupun berdepan tekanan untuk mengawal penularan tempatan, terutamanya dalam memastikan keselamatan dan kesihatan mereka daripada COVID-19.

Syarikat-syarikat itu juga percaya dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pendekatan seluruh negara kerana mereka bermatlamat untuk bersatu menyokong usaha kerajaan dan negara dalam menentang wabak tersebut, serta dalam mengurus dan menyesuaikan diri dengan Fasa Peralihan dan norma baharu.

Kit ART diserahkan kepada perwakilan di Hospital Suri Seri Begawan.
Gambar ramai semasa penyerahan kit ART di Pusat Pengasingan Chabel 6.