Sumbang koleksi seni demi membantu masyarakat

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia

Ketika membicarakan tentang cinta, hadirnya wujud dalam pelbagai bentuk namun keindahannya dapat dirasa sedalam-dalamnya andai hati tulus mengenalnya. Hanya kepada ketulusan, kita akan mampu belajar sebuah keikhlasan dalam kehidupan.

Di mana ada cinta, di situlah ada kehidupan, begitulah yang dapat digambarkan kesungguhan jiwa Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dalam meniti bidang seni lukis, lebih-lebih lagi daripada hasil koleksi sentuhan karya peribadinya telah mewujudkan impian tulusnya terlibat buat julung kalinya dalam acara lelong amal di Singapura bagi mengumpulkan dana kewangan khususnya untuk golongan keluarga yang berpendapatan rendah.

Hasil karya demi membantu masyarakat

Salah satu sentuhan karya lukisan peribadi Yang Amat Mulia yang berjudul ‘Protectors of the Soul’ iaitu sebahagian daripada koleksi yang mengandungi 412 karya miliknya yang dikenali dengan nama The Hidden Princess, telah dihadiahkan untuk acara lelongan amal Singapura berkonsepkan non-fungible token (NFT) menerusi Blockchain For Good.

Berkongsi perbualan seketika bersama penulis secara maya, Yang Amat Mulia merakamkan perasaan sungguh berbesar hati dan teruja apabila pertama kali dijemput untuk menjadi sebahagian daripada acara tersebut.

“Begitu indah rasanya kita dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dan terlibat dalam pelbagai usaha yang mampu membawa perubahan bermakna kepada mereka.

Di mana ada cinta, di situlah ada kehidupan, begitulah yang dapat digambarkan kesungguhan jiwa Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia dalam meniti bidang seni lukis, lebih-lebih lagi daripada hasil koleksi sentuhan karya peribadinya.
Salah satu sentuhan karya lukisan peribadi Yang Amat Mulia yang berjudul ‘Protectors of the Soul’ iaitu sebahagian daripada koleksi yang mengandungi 412 karya miliknya yang dikenali dengan nama The Hidden Princess.

Terutamanya menerusi industri kreatif sebegini,” ujarnya dengan nada penuh ketulusan yang merupakan seorang insan yang memiliki minat terhadap aktiviti amal, pengembaraan dan seni.

Dengan situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda Singapura dan dunia amnya, acara lelong amal itu dijalankan secara maya selama seminggu bermula dari 4 hingga 17 Oktober ini.

Acara itu dianjurkan dengan kerjasama antara Blockchain Association Singapore (BAS) dan the National Trades Union Congress (NTUC) – U Care Fund.

Sehubungan dengan itu, BAS ditubuhkan bagi memperkasakan ahli-ahli-nya dan juga masyarakat amnya untuk memanfaatkan teknologi blockchain dan scalable untuk pertumbuhan dan transformasi perniagaan.

Manakala Blockchain For Good bertujuan untuk mengumpulkan dana untuk NTUC – U Care Fund, dengan sasaran SGD250,000 ditetapkan untuk lelongan pertama.

Sementara itu, NTUC – U Care Fund adalah sebuah badan amal NTUC yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan anggota kesatuan berpendapatan rendah dan keluarga mereka.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyokong pelbagai program bantuan termasuk membantu golongan keluarga kurang berkemampuan, perbelanjaan sekolah anak-anak mereka dan kebajikan warga emas.

Sentuhan unik gabungan ‘emas’

Berkongsi mengenai sentuhan karya koleksi yang diketengahkan bagi acara lelongan amal berkenaan, Yang Amat Mulia menjelaskan kesemuanya dihasilkan dengan gabungan teknik tradisional dan digital (Tradigital); dicetak secara digital pada sejenis kertas archival art dan dilukis dengan tangan menggunakan cat emas 24K (24K gold paint) dan pen emas (gold pen) serta diserikan lagi dengan daun emas (gold leaf).

Tambahnya lagi, koleksi tersebut sememangnya tersirat pelbagai kisah yang disampaikan melalui komposisi muzik, animasi, lukisan digital dan tradisional. Selain itu, beberapa sentuhan karya juga ada yang diketengahkan bercirikan mixed media seperti kertas dan bahan kitar semula.

“Terinspirasi daripada sebuah kisah benar. Dengan kisah cinta dan kehilangan; dan cahaya dan kegelapan serta penerokaan kisah kekayaan alam semesta, pengalaman, dan juga sebuah perjalanan yang tidak disangka,” jelas Yang Amat Mulia.

Mengimbas kembali idea tercetusnya acara lelongan amal berkenaan, Yang Amat Mulia berkongsi bahawa sekitar bulan April lalu ketika BAS menganjurkan siri webinar NFT di mana Chia Hock Lai selaku pengerusi bersama, BAS pada masa itu telah menerokai penggunaan teknologi untuk meningkatkan kutipan dana amal, dan tambahan lagi Yang Amat Mulia juga selaku ahli dalam pemegang amanah NTUC U-Care Fund.

“Oleh itu, melakukan lelongan amal NFT sudah menjadi perkara yang wajar dilakukan.

Selain daripada tujuan utama untuk mengumpulkan wang untuk insan-insan yang memerlukan, bahkan ia juga bertujuan untuk memberi lebih banyak kesedaran tentang pelbagai nilai utiliti teknologi blockchain, dan dalam hal sebegini bagi melakukan perkara kebaikan,” ujarnya.

Belajar daripada sebuah pengalaman

Yang Amat Mulia turut mengemukakan bahawa dengan adanya penglibatan bersama dalam acara berkenaan, ia pastinya satu peluang yang amat dinanti-nantikan di mana ia bukan sahaja membolehkannya sebagai platform untuk berkongsi kisah perjalanan karya seni beliau kepada dunia tetapi juga sebagai usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat bahkan juga bagi sama-sama mencapai tujuan yang baik.

Sememangnya, hal ini juga membuka peluang kepada dirinya untuk belajar dari sebuah pengalaman, kekuatan dan pemikiran yang bernas dalam penglibatan sebegini.

“Memiliki semua itu pastinya menjadi satu gerakan terpenting dalam menjalani liku-liku kehidupan sejajar dengan adanya minda yang terbuka penuh dengan segala pengalaman dan kenangan manis.

Segala itu secara tidak langsung mampu merakam kemanisan seni yang dihasilkan sehingga tersimpannya kisah-kisah di sebaliknya untuk menjadi tatapan generasi akan datang untuk sama-sama menghargainya, memilikinya serta menyentuhnya,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, daripada 412 karya lukisan yang dihasilkan oleh Yang Amat Mulia, hanya 10 karya yang dirancang untuk dicetak setakat ini yang mana boleh didapati di NFT Marketplace iaitu https://foundation.app/@thecuriousunicorn.

Adapun 10 karya termasuk sebuah karya berjudul ‘Protectors of the Soul’ itu akan mengikuti pameran solo semasa hari pembukaan nanti dan akan menyertai lawatan peribadi bersama artis. Kini enam karya Yang Amat Mulia sudah dicetak sementara selebihnya empat karya akan dicetak sekitar pertengahan bulan November ini nanti.

Namun jumlah karya sebanyak 402 keping selebihnya pula dirancang akan dikeluarkan sebagai NFT dan dipamerkan dalam pertunjukan solonya pada 22 Februari 2022.

Bersatu demi perubahan positif

Dalam pada itu, Yang Amat Mulia turut berkongsi bahawa acara lelongan amal ini sememangnya bagaikan batu loncatan bagi menerokai berbagai peluang dan acara-acara di masa akan datang untuknya dan juga bersama pihak BAS.

“Menariknya, satu acara yang amat dinanti-nantikan ialah ASEAN NFT Auction anjuran BAS, yang mana ia akan menjadi peluang keemasan bagi kami untuk berhubung bersama para seniman seni lukis ASEAN, di samping untuk menyebarkan kesedaran dan pengetahuan tentang teknologi Blockchain, dan bagaimana kita dapat memanfaatkan teknologi ini untuk melakukan kebaikan dan membawa perubahan positif kepada dunia,” tambahnya.

Beberapa artis seni lukis tanah air telah dijemput untuk menjadi sebahagian daripada lelongan ASEAN itu pada bulan Februari nanti antaranya ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolqiah, Pengiran Abd Wahab Hassan Al-Abbas, Pengiran Timbang Pengiran Haji Tuah, Dr Zakaria bin Haji Abd Hamid dan Dayang Rashidah Yusof.

Selain itu, menerusi projek ini nanti juga akan mengetengahkan inisiatif dana pembangunan seniman bagi menyokong golongan seni kreatif di rantau ASEAN, di samping dihasrat untuk untuk mengembangkan lagi pelbagai projek menerusi teknologi Blockchain.

“Dengan adanya lelongan amal sebegini, adalah menjadi harapan saya agar ia dapat membawa kegembiraan penuh bermakna kepada kehidupan mereka yang benar-benar memerlukan. Dalam hal ini, saya juga berharap kita dapat melakukan sesuatu yang serupa di Brunei dan membawa perubahan positif kepada masyarakat kita, dan ini bukan hanya bagi industri kreatif, tetapi juga secara keseluruhan negara,” ucapnya semasa mengakhiri sesi temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.

Orang ramai juga berpeluang mengikuti Brunei Discord NFT Channel di https://discord.gg/hnYDZpuq dan pada masa ini, karya Yang Amat Mulia dengan nama ‘The Curious Unicorn’ dapat disaksikan di Open Sea; Foundation; HEN; dan Instagram.