Sumbang pelitup muka, kongsi ilmu cara pemakaian

Oleh Nurdiyanah R.

Kehidupan kita ini umpama satu tubuh badan, harus saling bergandingan antara satu sama lain dalam memainkan fungsinya masing-masing.

Bayangkan jika salah satu anggota badan sakit maka seluruh badan secara tidak langsung turut merasai tempias kesakitannya sehingga menjadi sukar bagi empunya badan memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalani kegiatan hariannya.

Begitulah juga bagi sebuah masyarakat dalam satu-satu negara yang mana semangat kerjasama adalah kunci segalanya, lebih-lebih lagi dalam menghadapi gelombang pandemik COVID-19 yang masih menggoncang dunia dan tanah air kita.

Pastinya ia menjadi salah satu ujian dan cabaran terbesar seluruh manusia sehingga mewujudkan impak mendalam kepada pelbagai aspek kehidupan.

Bagaimanapun dengan adanya pelbagai langkah prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, pelbagai pihak berkepentingan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan khususnya lagi masyarakat dan penduduk di negara ini, kita mampu dan boleh mengawal penularan wabak ini sekali gus mengurangkan jangkitan.

Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi sama-sama memutuskan rangkaian wabak COVID-19 serta menyahut seruan Kementerian Kesihatan, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) serta Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong telah melaksanakan projek Inisiatif Pakai Mask.
Ahli jawatankuasa projek amal kemasyarakatan itu semasa mengagih-agihkan sumbangan pelitup muka yang telah berjaya dikumpulkan sebelumnya kepada orang ramai termasuklah pekerja-pekerja luar yang berada di sekitar kedai Pekan Tutong disertai dengan penerangan mengenai kefahaman penggunaan dan pemilihan pelitup muka dengan tepat.
Orang ramai juga tidak ketinggalan untuk berkongsi rezeki dengan menyumbang pelitup muka seikhlas hati.

Inisiatif Pakai Mask

Dengan matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi sama-sama memutuskan rangkaian wabak COVID-19 serta menyahut seruan Kementerian Kesihatan, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) serta Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong telah melaksanakan projek Inisiatif Pakai Mask.

Projek yang telah dirasmikan di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Jalan Enchi Awang, Pekan Tutong yang juga sebagai pusat drop-off, baru-baru ini, merangkumi tiga inisiatif utama iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya penggunaan pelitup muka dan menggalakkan orang ramai untuk beramal dengan menderma pelitup muka kepada insan-insan yang memerlukan serta menubuhkan pusat penerimaan sumbangan pelitup muka bagi mewujudkan kemudahan masyarakat.

Bagi fasa pertama, projek itu telah dilaksanakan dengan mengagih-agihkan sumbangan pelitup muka yang telah berjaya dikumpulkan sebelumnya kepada orang ramai termasuklah pekerja-pekerja luar yang berada di sekitar kedai Pekan Tutong.

Selain itu, projek tersebut juga menghulurkan sumbangan kepada sukarelawan yang bertugas di Kompleks Sukan Tutong.

Berkongsi ilmu sambil beramal

Semasa ditemu bual dalam talian, Pengerusi Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku mengetuai pengagihan sumbangan pelitup muka tersebut berkongsi bahawa adapun projek yang diadakan buat julung kalinya itu bukan hanya memberi pelitup muka kepada orang ramai secara percuma semata-mata namun menerusi kegiatan amal itu juga disertai dengan penerangan mengenai kefahaman penggunaan dan pemilihan pelitup muka dengan tepat.

“Rata-rata apa yang kita perhatikan, terdapat sebilangan masyarakat hanya mengambil ringan tentang tatacara penggunaan dan pembuangan pelitup muka terpakai terutamanya jenis pakai buang. Mungkin ada juga yang beranggapan janji memakainya sahaja agar menggelakkan daripada dikenakan denda.

“Lebih mengkhuatirkan lagi, berdasarkan pemantauan kami, ada yang menggunakan pelitup muka itu seharian dari pagi hingga ke malam tambahan lagi mereka yang kebiasaannya berdepan dengan orang ramai seperti pekerja-pekerja kedai. Sebaiknya mereka perlu menukarnya sekiranya kotor atau basah.

“Didapati juga mereka yang menggunakan pelitup muka yang sama untuk keesokan harinya. Oleh itu bagi mewujudkan kesedaran bersama masyarakat di negara ini, kami tampil mengungkayahkan projek inisiatif ini demi sama-sama membuka minda dalam kita menangani penularan wabak ini dari semakin berleluasa,” jelasnya lagi.

Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga

Sehubungan itu, Awang Abdul Aziz turut mengalu-alukan orang ramai untuk mendermakan pelitup muka seikhlas hati dengan menghantar terus ke pusat berkenaan pada waktu pejabat, menghubungi talian 8836893 atau 7372043 untuk membuat temu janji atau bagi sebarang pertanyaan lebih lanjut mengenai projek berkenaan.

“Jaga keselamatan kami, jaga keselamatan semua. Itulah perlu kita semai dalam kita menjalani kehidupan sehari-hari.

“Pastikan jangan hanya tahu memakai pelitup muka semata-mata, tanpa mengetahui sejauh mana keberkesanannya. Pelbagai pilihan di depan mata, namun bijaklah memilih yang mana terbaik.

“Oleh itu, bersama kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab. Jadilah insan-insan yang sentiasa menitikberatkan kebersihan diri seperti kerap membersihkan tangan dengan sabun, memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan penjarakan fizikal, mengaktifkan aplikasi BruHealth dan sebagainya demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!” ucapnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis secara maya, baru-baru ini.