Sukarelawan Kem.Pendidikan bersama tangani COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Kementerian Pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dalam negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang sehingga ke hari ini telah mencatat 136 kes positif, sebilangan besar pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di luar negara telah pulang ke tanah air.

Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain, Kementerian Pendidikan telah membuat persediaan dan pengurusan yang berkaitan serta turut memberi khidmat sokongan bagi penempatan pelajar-pelajar dari luar negara berkenaan untuk menjalani tempoh pengasingan 14 hari setiba mereka di tanah air sekitar minggu ketiga dan keempat Mac lalu. Ini bertujuan untuk memantau sebarang simptom yang perlu dikenal pasti.

Kepulangan pelajar dalam jumlah yang bukan sedikit dan dalam jangka masa dekat pastinya bukan sahaja memerlukan penyelarasan yang kemas dan jitu tetapi juga tenaga kerja yang
ramai. Dari yang demikian, ini membabitkan keperluan tenaga sokongan daripada kalangan sukarelawan.

Menurut kenyataan yang diberikan, bagi membantu pengendalian penempatan para pelajar yang kembali ke tanah air serta membantu memantau kesejahteraan mereka, Kementerian Pendidikan turut mengambil inisiatif untuk mengamanahkan jabatan, bahagian dan unit di kementerian berkenaan bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain di 22 lokasi pusat pengasingan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga telah membukakan khidmat kesukarelawanan kepada warga kementerian untuk menyumbang tenaga mengendali kepulangan pelajar dari luar negara dalam tempoh pandemik ini di mana 110 orang tenaga pengajar, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan telah tampil menawarkan khidmat bakti mereka. Sejak penghujung minggu pertama April ini, sebilangan pelajar telah menamatkan tempoh pengasingan.

Hajah Rosimah berkata menjadi sukarelawan merupakan satu pengalaman yang baharu dan berharga.
Awang Mohd Rafieandy bersama rakan-rakan yang menyumbangkan tenaga di salah sebuah pusat pengasingan.
Awang Mohd Syahminan merupakan salah seorang pelajar yang telah menamatkan pengasingan di salah sebuah pusat pengasingan.

Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohd Syahminan bin Suhaimi yang baharu saja selesai tempoh pengasingan pada 5 April lalu, menzahirkan rasa bersyukur atas layanan yang telah diberikan kepada mereka bukan saja daripada pihak berwajib tapi juga daripada sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga dan masa sepanjang tempoh
pengasingan.

Menurutnya, sukarelawan yang diaturkan di pusat-pusat pengasingan berkenaan dapat membantu proses kemasukan dan pendaftaran pelajar, membuat panggilan bagi bertanyakan khabar pelajar-pelajar yang menginap di pusat-pusat berkenaan.

Di samping itu, dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan, sukarelawan dari kementerian berkenaan dan organisasi lain dan pihak berwajib yang turut bertugas di tempat yang sama, menjadi pegawai penghubung bagi pihak keluarga pelajar menyampaikan keperluan pelajar atau apa jua perkara untuk kesejahteraan mereka.

Kaunselor di Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Rosimah binti Haji Ibrahim yang merupakan salah seorang sukarelawan berkenaan menyatakan bahawa penyertaan beliau dalam tugas sukarelawan itu adalah bagi membantu anak bangsa dengan menyumbangkan sokongan moral, motivasi dan kaunseling kepada para pelajar semasa
tempoh pengasingan diri ini.

Menurutnya, menjadi sukarelawan merupakan satu pengalaman yang baharu dan berharga serta bersyukur dengan tugas yang diamanahkan ini berjalan dengan lancar.

“Pasukan kami terdiri daripada gabungan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah serta ahli sukarelawan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kami bekerjasama dalam menjalankan tugas masing-masing dan memiliki komitmen yang baik,” ujarnya.

Manakala waktu bagi kitaran 24 jam yang telah diberikan adalah sangat teratur dan kaedah ini membolehkan para sukarelawan mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

Manakala itu, bagi sekumpulan pegawai dan kakitangan Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan yang bertugas di sebuah lagi lokasi pusat pengasingan, mereka amat bersyukur kerana kerjasama dalam kalangan pegawai dan sukarelawan dari pelbagai kementerian, jabatan dan organisasi berjalan dengan lancar sekali.

Menurut Awang Mohd Rafieandy bin Haji Rosli dari Bahagian Perancangan Pemakanan Sekolah di Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, kerjasama yang sangat baik juga diterima daripada kalangan para pelajar yang menginap di pusat pengasingan yang memudahkan lagi kerja pemantauan. Beliau dengan rakan-rakan lain bertugas mengikut kitaran tiga syif dalam tempoh 24 jam dan menyuarakan kecekapan dan kerjasama berbagai-bagai pihak menjadikan suasana kerja memeduli pelajar seperti memeduli anak sendiri yang akan menjadi kenangan beliau dan pasukan.

Pegawai Pelajaran di Jabatan Pendidikan KoKurikulum, Kementerian Pendidikan Awang Sukardi bin Kadri pula menjelaskan, tugas sukarelawan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan merupakan salah satu cara untuk sama-sama menyumbang bakti kepada negara khasnya dalam menangani wabak.