Sumbangan $412,300 untuk tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Kementerian Kesihatan telah menerima sumbangan berjumlah $412,300 daripada empat buah syarikat sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka untuk membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di Brunei.

Hua Ho Department Stores dan Pro Builder Sdn Bhd telah menyerahkan sumbangan berjumlah $320,000 pada majlis yang diadakan Bilik VIP, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hadir untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Pada majlis berkenaan, Hua Ho Department Stores menyampaikan sumbangan bernilai $250,000 yang disempurnakan oleh pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada Law Hau Wei, Lau How Teck dan Lau How Kun.

Pro Builder Sdn Bhd pula menyampaikan sumbangan bernilai $70,000 yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan, Sia Kie King.

Sementara itu, hari ini, Tokong Cina Bandar Seri Begawan dan Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd menyerahkan sumbangan berjumlah $92,300 yang turut diterima oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham Sumbangan berjumlah $42,300 daripada Tokong Cina Bandar Seri Begawan telah disampaikan oleh Pengerusi Tokong Cina Bandar Seri Begawan, Lee Eng Ching.

Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd pula menyumbangkan $50,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Zeng Caili.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan daripada Tokong Cina Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan daripada Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bergambar ramai dengan wakil Hua Ho Department Stores dan Pro Builder Sdn Bhd pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kesihatan. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan