Sumbangan bantu tangani COVID-19

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Bantuan sejumlah $73,676 telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha bagi membantu menangani wabak COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini.

Majlis penyampaian sumbangan daripada Sumbangsih Dana Amal Maslahat Umum Perbadanan TAIB berkenaan telah disampaikan pagi tadi bertempat di Kementerian Kesihatan.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Sumbangan berkenaan adalah bagi pembelian segala peralatan perubatan yang diperlukan dalam memerangi COVID-19 di negara ini termasuklah laboratory freezers, biological safety cabinets, platelet incubator dan platelet agitators yang mana akan digunakan di Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan di Kampung Sumbiling, Bandar Seri Begawan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menyerahkan sumbangan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Rahwani Zahari