Sumbangan bantu tangani pandemik terus disalurkan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Syarikat-syarikat dan persatuan bukan kerajaan terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan petugas barisan hadapan kepada Kementerian Kesihatan dalam majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Bilik Tamu, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sumbangan pada majlis berkenaan diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Pada majlis berkenaan, Bank Usahawan menyerahkan sumbangan berupa cek berjumlah $25,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Syariah Bank Usahawan, Yang Arif/ Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dan sumbangan daripada kakitangan Brunei LNG berupa 2,490 keping gaun pengasingan, 1,660 keping gaun pembedahan dan 1,359 kotak sarung tangan pembedahan di-sampaikan bersama oleh Ketua Pasukan Pengeluaran (Utilities) Brunei LNG, Awang Muhammad Syazni bin Muhammad Hadi; Ketua Pasukan Pengeluaran (Terminal) Brunei LNG, Awang Mohammad Azwandi bin Haji Julaihi dan Process Panelman (Process) Brunei LNG, Awang Ainool Zamree bin Haji Mohd Rhymee.

Manakala itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam menyumbangkan 8,000 keping penutup mulut dan hidung yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Polisi dan Kewangan, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan daripada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan daripada Brunei LNG yang disampaikan bersama oleh wakil Syarikat Brunei LNG.