Sumbangan buat pekerja barisan hadapan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Syazwani Haji Rosli

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Pad Motors Sdn Bhd, pengedar kereta jenama Proton di Negara Brunei Darussalam, dengan kerjasama Tealive and BOWL telah menyumbangkan sebanyak 100 gelas minuman Tealive Pearl Milk Tea dan 80 bungkus makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sumbangan telah disampaikan oleh wakil Pad Motors Sdn Bhd, Awang Nazree bin Haji Abu Bakar kepada Timbalan Penguasa Perubatan, Dr Haji Muhd Nurhassanuddin bin Abdullah Kelali.

Sumbangan berkenaan adalah salah satu tanggungjawab sosial Pad Motors Sdn Bhd dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Kelab Lions Belait pula telah menghulurkan sumbangan berupa termometer, penutup muka, dan gel pembasmi kuman kepada warga emas di Rumah Orang-orang Tua, Seria bagi memastikan mereka dalam keadaan baik dan sihat.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden Kelab berkenaan, Joseph Teo dan beberapa orang ahli kelab.

“Warga emas adalah yang paling berisiko untuk dijangkiti COVID-19, dan dengan perlindungan yang diperlukan, kami berharap sumbangan berkenaan akan dapat memberikan mereka perlindungan daripada wabak COVID-19,” ujar Joseph.

Selain itu, kelab berkenaan juga menyediakan keperluan harian kepada Pusat Operasi Kecemasan Hospital di Daerah Brunei dan Muara dan juga mengumpulkan dana untuk membuat pakaian scrub suit bagi Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong.

Antara sumbangan yang telah disampaikan oleh Pad Motors Sdn Bhd.