Oleh Daniel Lim
BELAIT, 3 NOV – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunan untuk membantu mempromosi budaya Cina serta memupuk tabiat membaca dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT), Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong telah mengadakan lawatan ke beberapa buah IPT di Daerah Belait untuk menyerahkan sumbangan buku-buku kepada perpustakaan institusi berkenaan, hari ini.
PYT Yu Hong pertama melawat Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei (PB), Lumut di mana kedatangan beliau dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah, Lim Kian Boon.
Dalam ucapan, Lim Kian Boon menyatakan penghargaan kepada PYT Yu Hong bagi pihak PB atas 169 buku yang disumbangkan kepada kampus.Buku-buku yang disumbangkan termasuk seni, sejarah, budaya dan bahasa Cina.
“Saya yakin buku-buku tersebut akan menjadi rujukan bernilai untuk program yang ditawarkan di kampus,” tambah beliau.
Selain itu, Lim Kian Boon juga mengucapkan terima kasih kepada PYT Yu Hong atas sumbangan yang diberikan kepada 14 orang pelajar PB yang telah menerima Anugerah Duta China pada majlis yang berlangsung bulan lalu.
Beliau juga memuji kolaborasi di antara PB dan Kedutaan Republik Rakyat China, Hengyi Industries Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou.
“Saya berharap kerjasama yang dijalin akan terus berkembang kukuh dalam usaha memupuk dan membangunkan sektor pendidikan di Brunei Darussalam,” tambahnya.
PYT Yu Hong dalam ucapannya juga berkata buku-buku yang disumbangkan bukan sahaja memperkenalkan kesusasteraan klasikal China tetapi juga memaparkan pelbagai kemajuan yang dicatat oleh syarikat gergasi teknologi seperti Huawei dan Tencent.
“Saya percaya buku-buku berkenaan akan memainkan peranan positif dalam memberikan gambaran menyeluruh mengenai China dahulu dan sekarang,” tekannya.
Acara diteruskan dengan kunjungan ke bilik darjah dan makmal di mana PYT Yu Hong berinteraksi dengan pelajar dan meninjau kemudahan serta mata pelajaran yang diikuti oleh mereka.
Selepas lawatan ke PB, PYT Yu Hong seterusnya melawat Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) Kuala Belait. Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli.
PYT Yu Hong dalam ucapan mengatakan bahawa IBTE telah menyokong dan menyumbang kepada kejayaan Ceramah Pelajar ASEAN dengan Taikonaut yang diadakan pada 1 November lalu.
“Dialog di antara pelajar Brunei dan angkasawan China merupakan satu peristiwa penting dalam kerjasama di antara Kedutaan China dan IBTE. Sumbangan buku tersebut merupakan kerjasama baharu dan kami akan terus berusaha untuk mengembang dan memperkukuh kerjasama yang telah terjalin,” kata beliau.
“Sehingga sekarang, kedutaan telah menyumbang buku-buku mengenai China atau ‘China Bookshelf’ selama tiga tahun berturut-turut, menyumbang buku kepada 11 buah universiti, sekolah menengah dan rendah. Saya percaya buku-buku berkenaan akan membantu pensyarah dan pelajar memahami lebih mendalam mengenai China.”
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan vokasional sebagai sebahagian daripada kerjasama pendidikan di antara kedua-dua negara.