Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Sumbangan buku Turkiye tanda hubungan erat dua negara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menjana kefahaman mengenai Turkiye kepada komuniti Negara Brunei Darussalam, Kedutaan Republik Turkiye di Negara Brunei Darussalam telah menyumbang koleksi buku ke Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada majlis penyampaian sumbangan buku yang berlangsung di perpustakaan itu, hari ini.

    Hadir pada majlis itu ialah Duta Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy semasa berucap menyatakan bahawa universiti-universiti Turkiye mempunyai program-program pertukaran dengan pelbagai negara dalam konteks program pertukaran Turkish Mevlana dan EU Erasmus Plus.

    Dalam hubungan itu, katanya, Turkiye dan Kedutaan Republik Turkiye bersedia untuk memudah cara serta melaksanakan program pertukaran yang serupa bagi universiti-universiti di negara ini. Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan koleksi buku daripada Kedutaan Republik Turkiye ke Perpusta-kaan UBD yang disempurnakan oleh TYT Profesor Dr Hamit Ersoy kepada Dr Hazri. Buku-buku yang disumbangkan itu akan memberikan pelajar dan pengguna perpustakaan berkenaan akses kepada baris buku-buku daripada masakan diraja, budaya, sejarah, sastera dan seni Turkiye.

    Sumbangan buku tersebut menandakan hubungan mesra di antara Brunei dan Turkiye dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan kesenian.

    Selain itu, buku berkenaan akan memperkayakan lagi sumber-sumber pembelajaran yang terdapat di Perpustakaan UBD dan membolehkan lebih ramai pembaca Brunei untuk memahami serta mempelajari mengenai Republik Turkiye.

    Setakat ini, tiga pelajar dari Turkiye telah menuntut dan menamatkan pengajian mereka di UBD dalam bidang ekonomi, pendidikan dan bahasa. UBD juga telah menghantar pelajar-pelajar bagi Program Discovery Year bagi satu semester akademik ke Republik Turkiye.

    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy (kanan) menyampaikan sumbangan koleksi buku kepada Dr Hazri.
    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy menyampaikan ucapannya di majlis penyampaian sumbangan buku yang berlangsung di Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dan Dr Hazri bergambar-ramai dengan perwakilan-perwakilan daripada negara-negara sahabat serta pegawai kanan UBD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...