Sumbangan COVID-19 cecah $1 juta

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Setakat jam 5:30 petang hari ini, sejumlah $1,003,947.69 sumbangan telah pun diterima daripada orang ramai melalui akaun COVID-19 Relief Fund.

Dana tersebut akan digunakan untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani penularan wabak COVID-19 dengan ketua pengarah perkhidmatan kesihatan di kementerian tersebut diberikan kuasa untuk membelanjakan dana tersebut mengikut kesesuaian dan mempercepatkan proses perolehan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam masa yang sama, dana berkenaan akan diaudit oleh Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan ia tidak digunakan bagi keperluan lain, tambah Yang Berhormat Dato.

Pembukaan akaun COVID-19 Relief Fund yang bermula pada 21 Mac lalu berkenaan adalah bagi membolehkan orang ramai dan pihak-pihak yang berkenaan di negara ini membuat sumbangan dalam sama-sama membantu dan menangani penularan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan kepada dana tersebut.

Sumbangan juga boleh terus dibuat melalui pemindahan terus secara atas talian (online) ke dalam akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kepada akaun semasa bernama COVID-19 Relief Fund dengan nombor 1010070123.