Sumbangan dana diperlukan

SANDAKAN – Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) kini menggunakan dana simpanannya untuk membiayai 43 ekor beruang madu diancam kepupusan yang diselamatkan pihaknya dan kini berada di bawah jagaannya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Ekskeutif (CEO) BSBCC Wong Siew Te secara terus terang mengakui dana simpanan itu hanya boleh bertahan beberapa bulan sahaja.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac sehingga 28 April bagi mengekang penularan COVID-19 telah menyebabkan pusat itu tiada pilihan selain menutup pintu kepada kunjungan orang ramai yang membayar untuk masuk, satu daripada penyumbang utama pendapatannya.

“Dengan pelaksanaan PKP  COVID-19, kami tidak menerima pelawat, yang bermakna kami juga tidak mendapat sebarang pendapatan,” katanya dan menurutnya tiada pelawat atau pelancong antarabangsa disebabkan oleh pandemik itu.

“Jadi, ini merupakan cabaran besar kepada kami ketika ini, untuk mendapatkan dana mencukupi bagi menguruskan pusat ini untuk tempoh tertentu sehingga semuanya kembali pulih seperti biasa,” katanya kepada media.

Eksekutif Operasi Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) Tee Thye Lim memberi makanan kepada salah seekor beruang madu yang terdapat di pusat itu. – Bernama

Wong berkata pusat itu membelanjakan RM100,000 hingga RM120,000 sebulan bagi operasinya, termasuk gaji untuk 30 warga kerja sepenuh masanya dan makanan bernilai RM20,000 untuk beruang madu berkenaan.

“Saya ada menggesa bagi sumbangan orang ramai dan saya berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan kepada kami.

“Adalah amat penting untuk memulihara beruang madu dan menjamin masa depan haiwan ini. BSBCC tidak boleh gagal,” katanya.

Beruang madu juga dikenali dengan nama saintifik helarctos malayanus.  Beruang madu Borneo juga dirujuk dengan nama saintifik helarctos malayanus euryspilus.

Wong berkata pusat itu dibina dengan tujuan untuk memulihara beruang madu menerusi pendekatan holistik, yang menggabungkan penambahbaikan dalam aspek kebajikan, pendidikan, penyelidikan, pemulihan dan ekopelancongan.

Katanya beliau mengasaskan pusat itu pada tahun 2008 dan membuka pintunya kepada orang ramai pada tahun 2014, dan kebanyakan dana yang dikumpulkan daripada jualan tiket kepada pelawat, yang menjana dana mencukupi untuk penyelenggaraan pusat itu.

Jumlah pelawat meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh enam tahun, mencatatkan 84,496 orang pada tahun lepas berbanding  48,506 orang pada tahun 2014, katanya.

“Kami tidak pasti bila pelancongan akan  pulih semula. Selama ini kami amat bergantung pada pelancong daripada Eropah dan Amerika Syarikat.

“Kini, beberapa sumbangan bulanan daripada luar negara turut dibatalkan berikutan penyumbang turut terjejas oleh pandemik dan perintah sekatan pergerakan di negara masing-masing,” katanya.

Nasib baik, Wong berkata, pusat itu mempunyai bekalan makanan dan perubatan yang cukup serta pasukan berdedikasi dalam  memastikan kebajikan haiwan itu terjaga sepanjang PKP, namun beliau bimbang  pihaknya mungkin tidak dapat membuat bayaran kepada pembekal sebaik sahaja kehabisan wang.

Menurutnya, pemuliharaan beruang madu amat penting kerana haiwan itu semakin pupus atau jumlahnya tidak pasti di negara yang sebelum ini menjadi habitatnya, seperti China.

“Beruang madu memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan dengan bertindak sebagai penyebar benih disebabkan sikapnya yang gemarkan buah-buahan. Haiwan itu juga penting dalam aspek kawalan serangga dengan membuat lubang dalam pokok atau menggali lubang dalam tanah, yang menyediakan habitat selesa untuk hidupan liar yang lain.

“Saya percaya Malaysia, khususnya Sabah, merupakan kubu terakhir untuk populasi beruang madu liar disebabkan negeri ini kaya dengan khazanah hutan,” katanya.

Wong berkata BSBCC disokong oleh kerajaan Sabah menerusi Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan, tetapi masih memerlukan pembiayaan luaran.

Walaupun angka sebenar beruang madu di negara berkenaan tidak diketahui, dianggarkan populasinya berkurangan sebanyak 30 peratus dalam tempoh 30 tahun lepas. – Bernama