Sumbangan derma anak-anak yatim Kampung Sungai Besar

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seramai tujuh orang anak yatim dan sembilan ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan menerima sumbangan derma pada Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim dan Makanan Asasi yang berlangsung di kawasan letak kereta Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini.

Sumbangan derma dengan konsep pandu lalu itu disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan turut hadir sama di majlis itu ialah Datin Hajah Nahirah binti Haji Hasbi.

Antara tujuan sumbangan derma tersebut adalah salah satu inisiatif ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah, belia dan beliawanis Masjid Kampung Sungai Besar dalam membantu meringankan beban anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan. Di samping itu, ia juga menjaga kemaslahatan masyarakat dengan mewujudkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah sesama umat Islam dan perpaduan sejagat.

Sumbangan tersebut adalah hasil daripada kutipan derma daripada para jemaah dan penduduk Kampung Sungai Besar dan sekitarnya serta orang persendirian dari luar yang telah bermurah hati menyumbangkan kewangan dan makanan asasi.

Terdahulu majlis penyerahan sumbangan itu, bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat dibacakan oleh Imam Masjid Sungai Besar, Imam Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.

ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Antara sumbangan untuk diagihkan kepada penerima.