Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Seramai 46 orang anak yatim daripada kalangan murid-murid sekolah agama Kawasan Brunei I pagi tadi menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Surau Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Bandar Seri Begawan.
Sumbangan disempurnakan oleh tetamu khas, Penolong Pengarah Perkhidmatan Korporat, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan.
Majlis anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei I juga terdahulu mengadakan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bagi Guru-guru Agama Kawasan Brunei I.
Acara dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, surah-surah lazim, Doa Khatam serta bacaan tahlil dan Doa Arwah khusus bagi guru-guru dan ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis diteruskan dengan laungan Dikir Marhaban, disusuli dengan penyampaian sumbangan derma dan diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Acara tersebut merupakan aktiviti tahunan yang dikelolakan oleh JKPSSU Kawasan Brunei I bagi mengimarah bulan Ramadan dengan amalan-amalan ibadah dan berkebajikan di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan guru-guru agama.