Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan kepada yang memerlukan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam dengan usahasama Kelab Belia Ashabul Halim dan Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Malik Kampung Tungku Gadong, hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Asasi Program Infaq Ramadan 1440/2019 kepada ke-luarga-keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.

    Majlis yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik Kampung Tungku, Gadong tersebut turut diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Kelebihan Berbuat Baik kepada Anak Yatim’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Nazirul Mubin bin Ahad.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman yang turut berkesudian menyempurnakan penyerahan sumbangan barangan asasi kepada pengasas Kelab Belia Ashabul Halim, Awang Ahmad Tarmizi bin Haji Abu Bakar.

    Pada majlis tersebut yang turut diselajurkan dengan membaca Surah Yasin dan Tahlil arwah berkenaan juga telah dihadiri oleh ketua Kampung STKRJ Kampung Katok ‘A’, ketua kampung Tungku dan ahli-ahli Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Malik Kampung Tungku Gadong.

    Pengagihan barang-barang sumbangan berkenaan akan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi melalui kelab berkenaan.

    Usahasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan ini merupakan salah satu aktiviti yang berkebajikan yang diusahakan oleh persatuan sukarelawan-sukarelawan belia di negara ini dengan niat beramal semata-mata meraih keberkatan dari Allah SWT.

    Majlis penyerahan sumbangan barangan asasi kepada pengasas Belia Ashabul Halim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda