Sumbangan komuniti Indonesia bantu perangi COVID-19

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Komuniti Indonesia di Negara Brunei Darussalam turut tidak ketinggalan bagi bersama-sama menyalurkan sumbangan yang dikenali sebagai bantuan solidaritas COVID-19 bagi membantu negara dalam menghadapi penularan COVID-19.

Hadir di Kompleks Sukan Menglait bagi menyampaikan sumbangan tersebut ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko menyerahkan sumbangan bernilai $5,400 kepada Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Haji Kamarul Azam bin Haji Mohamad.

Antara sumbangan tersebut adalah berupa 10 unit kerusi roda, 11 unit troli barang, 10 kotak pelitup muka, 15 sarung tangan perubatan, 61 sabun dan cecair pensanitasi, 40 penutup badan serta kelengkapan lainnya.

Bantuan yang diadakan bagi kali kedua itu menyambung inisiatif yang dianjurkan pada 25 Ogos lalu, di mana Komuniti Indonesia di Negara Brunei Darussalam pada ketika itu telah menyerahkan bantuan bernilai $9,438 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang diserahkan oleh komuniti masyarakat Indonesia di negara ini kepada $14,838.

“Masih banyak masyarakat Indonesia di Brunei yang ingin membantu. Ini adalah dukungan tanpa henti Indonesia kepada Brunei,” jelas TYT Dr Sujatmiko.

Di samping itu TYT juga turut menasihatkan kepada seluruh masyarakat Indonesia di negara ini agar taat dan mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Setakat ini seramai 147 kes positif di negara ini adalah dari kalangan warga negara Indonesia dan 30 orang telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk kembali ke rumah masing-masing.

TYT Dr Sujatmiko semasa menyerahkan sumbangan kepada Haji Kamarul Azam di Kompleks Sukan Menglait kelmarin.
10 unit kerusi roda antara sumbangan yang disampaikan kelmarin.