Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sumbangan Lailatul Zubaidah raih Points Of Light

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British

    Sebagai sebahagian daripada warisan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel 2018 di London, Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Komanwel, memberikan penghargaan kepada sukarelawan-sukarelawan yang cemerlang di 54 buah negara Komanwel bagi sumbangan mereka kepada komuniti masing-masing dengan mengiktiraf seorang sukarelawan dari setiap negara Komanwel setiap minggu.

    Dengan berkongsi kisah perkhidmatan mereka, Anugerah Commonwealth Points of Light meraikan kerja-kerja kesukarelawanan yang cemerlang di serata Komanwel dengan harapan ia akan memberikan inspirasi kepada warga Komanwel lain untuk membuat sumbangan mereka tersendiri dalam menangani pelbagai cabaran sosial masa kini.

    Dayang Lailatul Zubaidah diberikan penghormatan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menerima Anugerah Points of Light, menurut Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan suruhanjaya tinggi berkenaan, Ratu Elizabeth II, telah berkenan untuk menganugerahkan Dayang Lailatul Zubaidah bagi mewakili Brunei, sebagai 216th Commonwealth Points of Light bagi menghargai perkhidmatan sukarelawan cemerlangnya dalam menyediakan sebuah platform komuniti untuk keluarga anak-anak yang mempunyai keperluan pendidikan khas.

    Dayang Lailatul Zubaidah yang berusia 43 tahun, merupakan bekas majistret dan hakim mahkamah perantaraan di Mahkamah Tinggi Brunei serta seorang pembela hak orang kelainan upaya (OKU) yang mengasaskan The IMPIAN Project (Inclusivity Means Purposefully Including Another Person with Special Needs) untuk menyokong keluarga anak-anak dengan keperluan pendidikan khas.

    Dayang Lailatul Zubaidah diberikan penghormatan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menerima Anugerah Points of Light.

    Dayang Lailatul Zubaidah telah memberikan inspirasi kepada masyarakat supaya melihat bagaimana mereka juga dapat menyumbang kepada petugas-petugas barisan hadapan dan usaha mengekang COVID di Brunei, menerusi projek menakjubkan seperti #scrubs4Brunei.
    Dayang Lailatul Zubaidah merupakan seorang pembela hak OKU yang mengasaskan The IMPIAN Project untuk menyokong keluarga anak-anak dengan keperluan pendidikan khas.

    Diinspirasikan oleh dua orang anak kelainan upayanya, Dayang Fatimah dan Awang Hassan, Dayang Lailatul Zubaidah berkeinginan untuk memperkasa keluarga lain sepertinya menerusi acara-acara rangkaian dan bengkel-bengkel latihan untuk ibu bapa.

    Projek itu juga bekerjasama dengan profesional penjagaan kesihatan untuk menyediakan kepakaran percuma bagi mereka daripada latar belakang kurang bernasib baik.

    Dayang Lailatul Zubaidah juga merupakan seorang penasihat khas di Girls4GirlsBrunei, sebuah program mentor kepimpinan global bagi wanita muda untuk mempersiapkan mereka bagi kerjaya-kerjaya dalam sektor awam.

    Dayang Lailatul Zubaidah dipetik menyatakan bahawa anugerah itu amat bermakna baginya kerana ia mengiktiraf kuasa hubungan manusia dan bukti perpaduan di kalangan warga Brunei dalam tempoh yang penuh dengan ketakutan, ketidakpastian dan perpisahan daripada mereka yang dikasihi.

    Beliau berkata projek yang diusahakannya itu hanya meraih kejayaan kerana pelaburan sepenuh jiwa warga Brunei dalam melindungi negara dan warganya. “Ia merupakan satu penghormatan untuk memudahkan perkumpulan warga Brunei, menjaga satu sama lain dan melawan pandemik ini sebagai satu,” jelasnya.

    Pandemik itu, tambahnya membawa banyak kesedaran tetapi yang paling mendalam, baginya, adalah semangat kemanusiaan membakar terang di negaranya.

    Beliau merasa amat bangga menjadi warga Brunei dan menyembahkan penghargaan tak terhingga kehadapan majlis Baginda Ratu Elizabeth II di atas penghormatan yang istimewa sebagai penerima Anugerah Commonwealth Points of Light.

    Manakala itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menyatakan perasaan kagum dengan usaha pembelaan Dayang Lailatul Zubaidah terhadap keluarga dan kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya semasa pandemik, di mana Dayang Lailatul Zubaidah telah memberikan inspirasi kepada masyarakat supaya melihat bagaimana mereka juga dapat menyumbang kepada petugas-petugas barisan hadapan dan usaha mengekang COVID di Brunei, menerusi projek menakjubkan seperti #scrubs4Brunei.

    Semangat kesukarelawanannya dan advokasinya, tambah TYT John Virgoe adalah sungguh menakjubkan.

    Dalam hubungan itu, beliau amat gembira kerana Baginda Ratu Elizabeth II telah berkenan mengiktiraf sumbangan cemerlang Dayang Lailatul Zubaidah dengan Anugerah Commonwealth Points of Light.

    Komanwel merupakan sebuah komuniti mengandungi 54 buah negara dengan pelbagai kerjasama untuk mempromosikan kemakmuran, demokrasi dan keamanan.

    Mesyuarat ketua-ketua kerajaan mengumpulkan pemimpin-pemimpin daripada kesemua 54 buah negara anggota untuk mengesahkan nilai-nilai bersama, menangani cabaran global bersama dan bersetuju untuk menjana masa hadapan yang lebih baik bagi semua warganya khususnya warga muda.

    Perkhidmatan sukarela merupakan bahagian penting agenda itu, di mana ia merupakan mengapa Baginda Ratu telah memilih untuk mengiktiraf sukarelawan cemerlang di serata Komanwel dalam cara yang istimewa itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...