Sumbangan lebih $200,000 untuk anak yatim

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Sejumlah $221,800 telah disumbangkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kepada 4,000 orang anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sebagai sebahagian daripada sokongan bank kepada masyarakat dengan kerjasama ke arah inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi hari ini.

Hadir menyerahkan sumbangan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi BIBD.

Sumbangan diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Penyampaian sumbangan untuk anak-anak yatim adalah acara tahunan anjuran KKBS dengan kerjasama jabatan daerah di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan BIBD.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyerahkan sumbangan kepada Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika penyerahan sumbangan Skim Hadiah Galakan Pelajar-Pelajar Cemerlang kepada Mubashar Khokhar.
Sesi bergambar ramai ketika majlis penyerahan sumbangan BIBD untuk anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM.

Dengan sumbangan berkenaan, ia dihasratkan dapat meringankan beban kewangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persediaan sambutan perayaan yang akan datang.

Berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini, sumbangan diserahkan dengan konsep pandu lalu di lokasi yang ditetapkan di daerah masing-masing selain penyerahan secara langsung.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah $6,700 sebagai sebahagian daripada Skim Hadiah Galakan Pelajar-Pelajar Cemerlang bagi Anak-Anak Yatim Peringkat Kebangsaan bagi 2019.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew kepada Pengarah Urusan BIBD dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mubashar Khokhar yang mana sumbangan tersebut akan diserahkan kepada sembilan orang anak yatim yang telah menduduki peperiksaan peringkat A, O dan Sijil Peperiksaan Ugama Brunei dan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut menyerahkan sumbangan berjumlah $17,984 kepada Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah BIBD ALAF.

Sumbangan tersebut akan digunakan untuk mendapatkan keperluan peralatan komputer bagi menyokong pembelajaran dalam talian pelajar-pelajar ALAF.

Setakat ini, seramai 240 orang pelajar mendapat sokongan daripada BIBD Advocating Life-Long Learning untuk Program Galakan Pembelajaran Sepanjang Hayat, yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat dalam menyediakan kewangan dan bantuan pembelajaran kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.