Sumbangan memeduli masyarakat

Oleh Salawati Haji Yahya

TUTONG, 28 NOV – Seorang penduduk yang kurang bernasib baik di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang telah menerima sumbangan berupa mesin rumput, basikal dan barangan asasi di bawah Program Memeduli Masyarakat, kelmarin.

Penyampaian sumbangan kepada Awang Rosli bin Dagang telah berlangsung di kediaman penyumbang mesin rumput dan basikal berkenaan, Haji Hamdan bin Haji Hassan yang seterusnya menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, sumbangan barangan asasi telah disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahid selaku penghulu Mukim Telisai.

Program Memeduli Masya-rakat merupakan inisiatif Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Bukit Beruang bagi membantu individu-individu yang dikenal pasti untuk meningkatkan pendapatan mereka di samping mengelakkan daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat.

Ia juga merupakan kesinambungan daripada Program Satu Kampung Satu Keluarga.

Sumbangan mesin rumput dan basikal berkenaan adalah untuk membolehkan Awang Rosli mendapatkan upahan menerusi kerja-kerja memotong rumput.

Pemangku Ketua Kampung Bukit Beruang, Haji Salamat bin Sauji selaku pengerusi MPK RPN Bukit Beruang antara lain menjelaskan bahawa program berkenaan dihasratkan dapat membantu penerima untuk menerima tempahan memotong rumput di kawasan-kawasan tertentu serta rumah-rumah secara langganan dan ini adalah program bagi peringkat pertama.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan kepada penerima ialah Pemangku Ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Tutong, Awang Roni bin Abdullah.

Gambar ramai penerima sumbangan bersama tetamu kehormat majlis.