Sumbangan Oman diharap tingkat keupayaan Bahasa Arab

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kerajaan Kesultanan Oman kelmarin, telah menyumbangkan sebanyak 11,279 naskah buku pendidikan Bahasa Arab yang terdiri daripada 93 judul buku meliputi buku bacaan, tulisan, latihan, aktiviti, panduan guru dan kamus kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan buku terbitan Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman itu telah diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada majlis yang diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Menurut kenyataan KHEU, buku-buku tersebut sangat bermanfaat dalam usaha pihak kerajaan mempertingkatkan keupayaan berbahasa Arab dalam kalangan penuntut-penuntut sekolah Arab di negara ini.

Ia juga sejajar dengan perancangan KHEU dalam perlaksanaan inisiatif untuk mempertingkatkan lagi tahap kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di negara ini khususnya di persekolahan Arab dan agama dengan menjadikannya sebagai sumber rujukan tambahan pengajaran guru dan pembelajaran murid.

Selain itu, tambah kenyataan, kepelbagaian jenis buku yang disumbangkan dapat memenuhi keperluan-keperluan berbeza dalam perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab itu sendiri.

Menurut KHEU, pengagihan buku-buku tersebut yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat setelah keadaan mengizinkan, diharap akan dapat menyuntik semangat yang lebih tinggi dalam kalangan guru untuk lebih gigih menyampaikan pengajaran Bahasa Arab kepada pelajar dan seterusnya pelajar akan lebih semangat untuk mempelajari dan mencintai Bahasa Arab.

TYT Sheikh Ahmed menyampaikan sumbangan buku kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan KHEU.