Oleh Normazlina M.D
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terkenal dengan sikap pemurah dan sentiasa mengurniakan kesejahteraan serta keamanan kepada rakyat dan penduduk Baginda.
Semenjak pemerintahan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan beberapa sumbangan peribadi kepada rakyat dan penduduknya.
Antara sumbangan-sumbangan peribadi yang dapat dilihat ialah seperti pendidikan, perumahan negara, kurnia peribadi bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri, pengagihan kurma sempena bulan Ramadan, dan beberapa pembinaan infrastruktur lain menerusi ‘Projek Julangan Titah’ Baginda.
Melalui artikel ini, beberapa sumbangan Baginda akan dikongsikan bersama. Antara yang ditumpukan adalah melalui beberapa pembangunan dari Projek Julangan Titah Baginda, pendidikan, serta pengurniaan kurnia peribadi Baginda sempena Hari Raya Aidilfitri dan pengagihan kurma bersempena menyambut bulan Ramadan.
Projek Julangan Titah
Sebagai bukti pemedulian kerajaan Baginda terhadap keperluan rakyat di mukim-mukim, kampung-kampung dan kawasan-kawasan pedalaman, mereka telah disediakan dengan pelbagai kemudahan prasarana, antaranya melalui “Projek Julangan Titah.”
Projek Julangan Titah merupakan usaha ke arah menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering menggalakkan sesama masyarakat supaya saling bantu-membantu ke arah kebajikan.
Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri
Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri ini dibina atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 April lalu untuk menggantikan Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri yang telah musnah dalam kebakaran pada 5 April 2017 yang lalu.
Bermula dengan penubuhan satu Jawatankuasa Khas di bawah Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan keahliannya terdiri daripada wakil-wakil Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia sendiri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Tanah, Divisyen Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya dan pihak konsultan.
Hasil daripada pemikiran dan cadangan yang disembahkan oleh jawatankuasa ini, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengurniakan titah supaya masjid baharu RPN Kampung Mentiri dibina di atas tapak asal dengan mengambil kira akan keperluan penduduk kampung tersebut dan kawasan persekitarannya. Setelah itu, arkitek dan konsultan telah dilantik pada 11 April 2017 dan lantikan kontraktor bagi pembersihan tapak pada 13 April 2017 dan seterusnya melantik kontraktor bagi pembinaan masjid pada 1 Mei 2017.
Dewan Sembahyang Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri berkeluasan 2,703.59 meter persegi bersamaan 29,101.16 kaki persegi dan boleh menampung lebih kurang seramai 3,512 orang jemaah, manakala keluasan keseluruhan kawasan masjid adalah 6,695.37 meter persegi bersamaan 71,834.28 kaki persegi yang dibina di atas tapak asal tanah kerajaan yang berkeluasan 3.6171 hektar bersamaan 8.930 ekar.
Kerja-kerja pembinaan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah dimulakan pada 2 Mei 2017 dan majlis peletakan batu asas telah diadakan pada 5 Mei 2017.
Projek Julangan Titah Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah siap sepenuhnya pada 19 Jun 2017 dalam tempoh waktu selama 49 hari.
Jawatankuasa Khas dengan kerjasama daripada pihak kontraktor dan pelbagai pihak lainnya telah berusaha secara bersepadu untuk melaksanakan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri ini akan dapat digunakan bagi menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri 1438 Hijrah.
Dengan pembukaan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri ini dihasrat akan dapat memberi keselesaan kepada para penduduk kampung serta jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan Sembahyang Fardu Jumaat di kawasan tersebut.
Ia juga dihasratkan untuk digunakan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti keugamaan bagi meningkatkan serta mengembangkan syiar Islam di Kampung Mentiri secara khususnya dan di Negara Brunei Darussalam secara amnya.
Pasar Pelbagai Barangan Gadong
Sebagai susulan tindakan berhubung dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menggantikan Pasar Malam Gadong, pasar baru yang dinamakan sebagai Pasar Pelbagai Barangan Gadong telahpun dibina.
Pasar Pelbagai Barangan Gadong itu telah mula beroperasi pada 2 Februari 2017, yang menempatkan sebanyak 150 petak dengan mengikuti kategori jualan iaitu salai-menyalai sebanyak 16 petak, masak-memasak 81 petak manakala sebanyak 39 petak bagi kategori sayur dan buah.

Dengan terbinanya pasar tersebut ianya diharap akan dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada para peniaga dan juga para pengunjung di samping meningkatkan suasana perniagaan yang kondusif lagi selamat dalam berusaha untuk mencari nafkah dan meningkatkan taraf pendapatan.
Dalam pada itu, peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung adalah dinasihatkan supaya akan dapat sama-sama menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan baik dan sempurna bagi kepentingan bersama.
Bangunan Pasar Pelbagai Barangan Gadong mempunyai keluasan 5,979.00 meter per segi dan 64,290.00 kaki persegi mula dibina pada 9 November 2016 dan siap pada 23 Disember 2016.
Kompleks Tamu Sungai Kianggeh
Salah satu usaha kerajaan melalui Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan untuk meningkatkan iklim perniagaan yang lebih mesra, Kompleks Tamu Sungai Kianggeh yang baru telah mula beroperasi pada 1 Jun 2016.
Dengan mempunyai keluasan 4,450 meter persegi itu, ianya dibina dengan infrastruktur lebih moden dan teratur yang boleh meningkatkan suasana perniagaan dan penjaja yang lebih baik seterusnya dapat memberikan peningkatan kepada hasil perniagaan.


Selain itu, ia juga dapat memberikan suasana perniagaan dan berjaja yang lebih bersih dan sihat serta memberikan keselesaan kepada peniaga, penjaja dan pelanggan dengan kawasan yang lebih luas. Dengan wajah baru, Kompleks Tamu Kianggeh akan dapat meningkatkan iklim perniagaan yang lebih mesra untuk semua pihak.
Kompleks tersebut menyediakan beberapa kemudahan, antaranya lapan blok bangunan yang menempatkan 313 buah bangku jualan selain bilik ibadat lelaki dan perempuan yang bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga dan penjaja kompleks tamu berkenaan tetapi juga kepada pengunjung yang datang ke kompleks berkenaan.
Selain itu, kompleks tersebut juga menyediakan pejabat pengurusan, bilik kawalan keselamatan Pasukan Polis Diraja Brunei, kawasan tempat duduk orang ramai, pondok sampah, tandas awam dan tempat penurunan perahu.
Sekolah Al-Falaah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan seorang raja yang sangat prihatin terhadap perkembangan pendidikan di Brunei khususnya dalam menyebar syiar Islam melalui pengajian ugama.
Pada 11 September 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan sebuah kompleks baru bagi Sekolah Al-Falaah.
Majlis penyerahan anak kunci dan warkah Baginda Sultan mengenai pengurniaan bangunan berkenaan diadakan di kompleks bangunan baru itu, pada September 2011.
Proses pembinaan sekolah berkenaan adalah diilhamkan sendiri oleh Baginda Sultan. Kompleks baru Sekolah Al-Falaah dibina di sebuah kawasan seluas lebih 3.6 ekar dan terletak berhampiran dengan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jalan Sungai Akar.
Sekolah baru itu mempunyai tiga blok bangunan utama iaitu blok pentadbiran, blok auditorium dan blok bilik-bilik darjah bagi peringkat taman asuhan, pra dan rendah di mana kesemua bilik darjah dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk kerusi meja dan alat-alat pengajian lain.
Ia juga menyediakan makmal-makmal komputer dan sains selain blok kediaman tenaga pengajar yang ditampilkan dengan rekaan bangunan adalah menjurus kepada seni bina Islam.
Keprihatinan Baginda terhadap perkembangan pendidikan mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda terhadap kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk.
Rumah Panjang Melilas
Projek Julangan Titah tersebut melalui Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kementerian Pembangunan khususnya Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur bertindak membangun dan telah menyiapkan sebuah rumah panjang 15 pintu di Kampung Melilas pada bulan Jun 2016. Ini kerana memandangkan keadaan rumah panjang di kampung tersebut adalah tidak selamat untuk didiami.
Rumah panjang itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti ruang serba guna, bilik pelbagai guna, kemudahan generator berasingan, tangki air dan tempat letak kereta. Inisiatif yang dijalankan ini adalah bagi membantu orang-orang pedalaman yang berkeperluan untuk menikmati keselesaan dalam menjalani kehidupan seharian.
Ini adalah gambaran sifat pemedulian dan keprihatinan Baginda bukan sahaja kepada masalah besar yang melibatkan soal kenegaraan, tetapi juga isu kecil yang melibatkan masalah individu.
Kerja-kerja pembinaan Rumah Panjang Kampung Melilas baharu itu berjalan selama lapan bulan yang bermula sejak pertengahan Disember 2015 lepas di bawah Projek Julangan Titah. Ini jelas menunjukkan kebajikan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa dipeduli walaupun jauh di pedalaman dan itu jelas membuktikan mereka yang jauh di pelosok bandar tidak terpinggir daripada mengecapi kemudahan-kemudahan dalam sama-sama meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.
Perumahan di Kampong Ayer
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pembangunan secara berterusan berusaha meningkatkan jumlah perumahan bagi memenuhi kehendak dan keperluan negara ini, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa terjamin selaras dengan Wawasan 2035.
Kementerian Pembangunan bukan sahaja menumpukan pembinaan rumah di atas darat malah juga membina rumah di kawasan Kampong Ayer bagi mengekalkan khazanah negara dan juga sebagai kawasan perumahan di atas air terbesar di dunia.
Projek Perintis Menaik Taraf Kampong Ayer ini merupakan insiatif Baginda Sultan ke arah mencantikkan dan mengindahkan lagi persekitaran Kampong Ayer dengan pembinaan rumah-rumah moden yang kukuh dan tersusun.
Projek ini mula dilaksanakan pada 2 April 2011 dan siap pembinaannya pada 10 Julai 2012, lalu diserahkan kepada pemohon perumahan pada bulan November pada tahun yang sama.
Selain itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga telah menyediakan perumahan yang lebih selesa di Kampong Ayer yang dikenali sebagai Bolkiah ‘A’ dan Bolkiah ‘B’. Sebanyak 226 buah rumah telah pun dibina di Kampung Bolkiah ‘A’ dan sebanyak 250 buah rumah telah pun dibina di Kampung Bolkiah ‘B’.
Projek perumahan tersebut telah pun dibahagikan kepada dua jenis iaitu rumah Jenis A (satu tingkat) mempunyai keluasan 130 meter persegi dengan harga jualan $65,000 ini dilengkapi dengan tiga buah bilik tidur dan rumah Jenis B (dua tingkat) ini mempunyai keluasan 198 meter persegi dengan harganya $90,000 ini mempunyai empat buah bilik tidur.
Pengagihan kurma kepada rakyat dan penduduk
Sebelum menjelang bulan Ramadan, sudah menjadi tradisi rakyat dan penduduk di negara khususnya yang beragama Islam akan menerima buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada setiap tahun.
Ini bermakna setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.
Pada tahun ini, sejumlah 157.5 ton metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi telahpun dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara.
Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan. Pengurniaan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk di negara ini mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda.
Kurnia peribadi Baginda Sultan
Selain menerima kurma, para penerima khas yang tergolong daripada orang berkeperluan khas (OBK), anak yatim serta mereka yang menerima Bantuan Kebajikan Bulanan dan bantuan daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) akan menerima Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam setiap tahun bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Setiap tahun, hampir seramai 20 ribu orang menerima Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sejak ianya mula diadakan pada tahun 2010.
Penerima-penerima tersebut bukan sahaja terdiri daripada mereka yang berada di Daerah Brunei dan Muara, bahkan penerima-penerima tersebut juga terdiri dari penduduk Daerah Tutong, Belait dan Temburong.
Berkenan berangkat bagi menyempurnakan pengurniaan tersebut setiap tahun ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Setentunya, kita di bumi Brunei Darussalam ini amat bertuah dengan adanya seorang raja yang dermawan yang sentiasa memeduli kebajikan rakyat dan penduduknya, serta kurnia Baginda itu juga diberikan kepada mereka yang berlainan agama dan bangsa.
Kesimpulan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan setiap lapisan rakyat jelata dan penduduknya adalah sangat terserlah.
Sejak pemerintahan Baginda Sultan, pelbagai usaha telahpun dilaksanakan dalam memeduli dan prihatin terhadap hal keperluan rakyat menyebabkan Baginda dikenali sebagai seorang raja yang pemedulian dan raja yang prihatin.
Oleh itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan sentiasa berada di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dilanjutkan usia dalam keadaan sihat sejahtera dan kekal karar memerintah negara di bawah petunjuk dan inayah Allah SWT, Aamin.