Sumbangan ringankan beban kementerian kesihatan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Sebagai usaha dan sama-sama meringankan beban Kementerian Kesihatan, hari ini pihak kementerian terus menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada pelbagai pihak di Negara Brunei Darussalam yang tampil memberi sokongan kepada usaha menangani jangkitan COVID-19.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, menyaksikan Mashhor Group of Companies menyumbangkan cek berjumlah $10,000 dan wang tunai berjumlah $550 hasil kutipan daripada tenaga pekerja Mashhor Group of Companies dan sebanyak 170 kotak Tasconi Pizza.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemangku Pengarah Mashhor Group of Companies, Malai Shamil Faris bin (Dr) Malai Haji Abdul Hamid.

Sehubungan itu, turut memberikan sumbangan ialah Syarikat GR Technologies yang menyumbangkan sebanyak $10,000, Chop Jing Chiew sebanyak $3,000, San Tok Onn Dispensary sebanyak $2,000, sebanyak $3,500 sumbangan daripada orang-orang persendirian, Yamayapa Contractor sebanyak $10,000 dan Sentiasa Berjaya Contractor sebanyak $10,000.

Hadir bagi menyaksikan dan menerima sumbangan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan Kementerian Kesihatan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin; dan Pemangku Pengarah Dasar dan Perancangan Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Ajar binti Haji Yusop.

Dayang Siti Ajar menerima sumbangan daripada GR Technologies.
Dayang Siti Ajar menerima sumbangan daripada Chop Jing Chew.
Dayang Siti Ajar menerima sumbangan daripada Chin Fin Kon.
Dayang Siti Ajar menerima sumbangan daripada Dato Lee Nyuk On.