Sumbangan sebagai tanda perpaduan China, Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Semangat perpaduan dan saling tolong-menolong dalam menghadapi krisis serta menangani penularan wabak COVID-19 diketengahkan menerusi sumbangan yang dihulurkan oleh kerajaan Republik Rakyat China yang menyumbangkan peralatan perubatan dan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam kepada Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sumbangan daripada kerajaan Republik Rakyat China dan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

Sumbangan peralatan perubatan berkenaan terdiri daripada sebanyak 100,000 keping N95 Respirator dan 1,000 gaun pengasingan (isolation gown) serta sumbangan berjumlah $60,000 daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan berkenaan merupakan sebagai sokongan mereka kepada rakyat dan penduduk Brunei dengan menghulurkan bantuan ke arah usaha menangani penularan wabak COVID-19 serta merupakan sebagai tanda sokongan dan perpaduan antara rakyat kedua-dua buah negara.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima sumbangan daripada kerajaan Republik Rakyat China yang disampaikan oleh PYT Yu Hong.