Sumbangan semarak Ramadan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Bertahlil dan Doa Arwah Sekampung, Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim dan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan yang berlangsung di Rumah Ketua Kampung Kawasan 4, RPN Lambak Kanan.

Seramai 29 orang anak yatim dan 20 orang warga emas telah menerima sumbangan pada majlis berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan Malar Setia Sdn Bhd, Haji Abdul Rahman bin Haji Metassim yang turut menyampaikan sumbangan beliau sendiri.

Sementara itu, sumbangan hasil kutipan derma kampung disampaikan oleh Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Lambak Kanan, selaku Pengerusi MPK, Haji Jumat bin Nasir.

Tetamu kehormat bergambar ramai dengan ahli MPK RPN Lambak Kanan sempena Majlis Bertahlil dan Doa Arwah Sekampung, baru-baru ini.

Derma daripada hamba Allah yang bermastautin di Kampung Kawasan 4 RPN Lambak Kanan pula telah disampaikan oleh Setiausaha MPK, Haji Othman bin Haji Aliassan.

Lebih 300 orang hadir pada majlis berkenaan dan hadir sama ialah ketua-ketua kampung di Mukim Berakas ‘B’ iaitu Ketua Kampung Kawasan 1, Awang Mohamad bin Haji Tahir dan Ketua Kampung Kawasan 3, Haji Mahir bin Haji Yussof serta ketua kampung undangan dan ketua kampung mentor.

Selepas penyampaian sumbangan, majlis diteruskan lagi dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Ugama MPK Kawasan 4, Haji Sari bin Nasir dan seterusnya bersungkai bersama-sama.