Sumbangan terus dihulurkan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kementerian Kesihatan, kelmarin, telah menerima sumbangan berupa cek berjumlah $10,000, 1,000 botol pensanitasi tangan dan 500 keping penutup mulut dan hidung daripada beberapa pihak dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sumbangan berkenaan telah diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan.

Pada majlis berkenaan, Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) menyumbangkan cek berjumlah $10,000 yang disampaikan oleh Presiden PWM, James Lee, Simpor Pharma Sdn Bhd pula menyumbangkan 1,000 botol pensanitasi tangan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Edward Ko manakala itu, China-ASEAN Technology Transfer Center, Nanning, Guangxi, China menyumbangkan 500 keping penutup mulut dan hidung yang disampaikan oleh Pre-siden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Negara Brunei Darussalam,
Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerima sumbangan daripada James Lee.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerima sumbangan daripada Haji Mohammad Hanafi.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerima sumbangan daripada Edward Ko.