Sumbangan terus dihulurkan

Oleh Sim Y. H. & Daniel Lim
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Pelbagai sumbangan terus dihulurkan oleh pelbagai pihak di negara ini dalam sama-sama memainkan peranan dan memberikan sokongan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan telah menerima dua mesin oksigen aliran tinggi (Fisher & Paykel-myAIRVO2) dengan aksesori berkaitan yang bernilai $20,700 untuk rawatan pesakit-pesakit kritikal COVID-19 yang disumbangkan oleh Persatuan Jantung Negara Brunei Darussalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Presiden Persatuan Jantung Brunei Darussalam, Dr Sofian bin Dato Paduka Haji Johar kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Turut hadir semasa penyampaian sumbangan berkenaan ialah Timbalan Presiden Persatuan Jantung Brunei, Dr Hajah Rohayati binti Haji Mohd Taib.

Kementerian Kesihatan turut menyatakan bahawa 10 penyumbang yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta serta penyumbang persendirian turut menghulurkan sumbangan pada 21 dan 22 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Zahidah yang menyumbangkan air minuman, minuman kotak, biskut, kurma, tisu dan pelitup muka; Baby Nest yang menyumbangkan baby cot dan tilam anak damit; Kesatuan Pelajar Brunei di UK dan EIRE menyumbangkan mesin pencuci pakaian, kipas, cerek, biskut dan paket kopi; Pejabat SUT/TSUT (HE) MOE menyumbangkan pelindung muka, pelitup muka, apron pakai buang dan peralatan perlindungan peribadi; Ekamjot Sdn Bhd dan Lucky Charm Sdn Bhd masing-masing menyumbangkan minuman jus pelbagai jenis; Dayangku Eliafatimah dan Afiqah menyumbangkan baby bath tub; Syazana Shamsir menyumbangkan air zam zam; NCMC menyumbangkan pelitup muka, sarung tangan dan apron serta Pusat Kajian Strategik dan Dasar menyumbangkan dispenser air, cerek, fog machine, thermoscan, microwave, rak kasut dan kit kecemasan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai yang ingin untuk membuat sebarang sumbangan, mereka boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Sementara itu, di Daerah Belait, Tzu Chi Foundation Brunei turut memberikan sokongan kepada para petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan pelindung muka, apron pakai buang, shoe cap, pad alkohol dan banyak lagi keperluan harian kepada Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait pada 25 September lalu.

Sumbangan itu bukan sahaja diharap dapat memastikan para petugas barisan hadapan perubatan menjalankan tugas dengan selamat malah sebagai tanda penghargaan atas tugas para petugas berkenaan yang bertungkus-lumus membendung penularan COVID-19.

Haji Maswadi menerima sumbangan daripada Persatuan Jantung Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Dr Sofian.
Sumbangan daripada Centre for Strategic and Policy Studies.
Sumbangan Tzu-Chi Foundation yang diserahkan kepada Hospital Suri Seri Begawan. – Gambar serahan Tzu-Chi Foundation.
Sumbangan daripada Kesatuan Pelajar Brunei di UK dan EIRE.