Sumbangan terus diterima

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Sumbangan cek berjumlah $114,150 dan pelbagai barangan keperluan telah diterima daripada pelbagai pihak, pada majlis penyampaian sumbangan di Kementerian Kesihatan, hari ini, untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Pada majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, sumbangan diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Di majlis berkenaan, sumbangan daripada menteri-menteri kabinet Negara Brunei Darussalam berupa cek berjumlah $100,000 telah disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Manakala itu, pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, sumbangan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat I, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari.

Menteri-menteri kabinet Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan bagi menangani pandemik COVID-19 apabila menyumbangkan sejumlah $100,000 yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Li Xiao Jie.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Insurans Islam TAIB.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada PERGA.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada wakil keluarga Allahyarham Dato Paduka Haji Alikhan.

Pada majlis berkenaan, Ezy Printing Services & Trading Co Sdn Bhd menyumbangkan 1,000 botol gel pembasmi kuman 500ml yang disampaikan oleh wakil Pengarah Urusan Ezy Printing dan Eksekutif Pemasaran, Zavier Tiong dan HLDS (B) Steel Sdn Bhd menyumbangkan 10,000 keping penutup hidung dan mulut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Li Xiao Jie.

Manakala itu, Visionmed Sdn Bhd menyumbangkan 10 keping disposable Ambu bag, dua kotak HMEF dan sekotak kotak suction tubing bagi AE Hospital RIPAS dan 13 keping disposable Ambu bag, dua kotak HMEF, sekotak suction tubing dan dua kotak non-rebreathing mask bagi Pusat Pengasingan Kebangsaan yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Reigel Ann Sunga dengan diturut dihadiri oleh Pengurus Produk, Alex Sunga.

Insurans Islam TAIB pula menyumbangkan cek berjumlah $10,000 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB, Hajah Nornaimah binti Haji Zainip; Dcon Sdn Bhd menyumbangkan 2,000 keping penutup mulut dan hidung serta 2,000 keping sarung tangan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Komersial, Wong Ka Min.

Sumbangan daripada Persatuan Bekas Guru Agama (PERGA) berupa cek berjumlah $2,150 disampaikan oleh Yang Dipertua, Haji Abdul Rahim bin Haji Gantang, Street Ice Cream menyumbangkan cek berjumlah $1,000 yang disampaikan oleh wakil pengurus Street Ice Cream dan sumbangan persendirian berupa cek berjumlah $1,000 yang disampaikan oleh wakil keluarga Allahyarham Dato Paduka Haji Alikhan bin Abdulkhan.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.