Sumbangan terus sokong Kementerian Kesihatan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, syarikat-syarikat dan kumpulan terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Kementerian Kesihatan dalam majlis yang berlangsung di kementerian berkenaan, hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Bilik Tamu, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan itu, sumbangan diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Majlis menyaksikan Daelim Industrial Co.Ltd menyumbangkan PCR Test Kits Allplex 2019-nCoV Assay bernilai AS$15,763.52 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Bae. Turut hadir semasa penyampaian sumbangan berkenaan ialah Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun Bong.

Sumbangan daripada Rainforest Gallery berupa cek bernilai $10,180 disampaikan oleh pemilik Rainforest Gallery, Dato Paduka Haji Shofry bin Abdul Ghafor.

Sementara itu, Peradian Group menyumbangkan peralatan pelindungan diri perubatan (PPE) bernilai $120,000, lapan buah mesin pencuci pakaian dan pelbagai peralatan perubatan serta peralatan mandi disampaikan oleh Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain dari FERA Health & Nursing Care Sdn Bhd, Dayang Noorhafizah binti Rashid dari BigBWN Project dan Dayangku Kemariah binti Pengiran Duraman dari Kunyit Lodge_bn.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan dari wakil syarikat Daelim Industrial Co. Ltd. Turut hadir ialah PYT Yoon Hyun Bong.
Peradian Group menyerahkan sumbangan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan berupa peralatan perlindungan diri perubatan (PPE).