Sumbangan untuk kem. Kesihatan terus mencurah

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Kementerian Kesihatan terus menerima sumbangan daripada penderma yang prihatin dalam sama-sama berganding bahu menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga telah menerima beberapa lagi sumbangan daripada pelbagai pihak pada majlis yang berlangsung Bilik Tamu, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan.

Majlis menyaksikan, Jabatan Perdana Menteri menyumbangkan sejumlah $11,515 yang diserahkan oleh Setiausaha Tetap (Wawasan, Kewangan dan Kabinet) Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.

Sementara itu, Pusat Pembangunan Belia, Sparks Co Sdn Bhd dan Aewon Garment & Embroidery Sdn Bhd pula telah menyumbangkan scrub yang disampaikan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil bin Pengiran Syed Haji Jaafari, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dan Pengarah Urusan Aewon Garment & Embroider Sdn Bhd, Lau Chai Seng.

Secara berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat 1, Haji Abdul Khalid As’asri bin Haji Azahri selaku pemangku ketua pegawai eksekutif tingkat khas menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Pada majlis itu, Riza Printing menyerahkan sumbangan berjumlah $8,372 yang disampaikan oleh Pengurus, Kamal Flynn dan PTD Technology Sdn Bhd menyumbangkan 70 kotak air mineral dan biskut yang disampaikan oleh Pengarah PTD, Awang Mohd Haziq Rasiman, Pengarah Urusan, Chong Yew Lam dan Pengurus HSEQ, Haji Kamsani Nckman.

Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) pula menyumbangkan minuman ringan, makanan ringan, tisu kertas, pencuci tangan yang disampaikan oleh Penolong Ketua Eksekutif, Hajah Hasnah binti Haji Azri.

Sementara itu, Christian Fellowship Centre in Brunei (CFCB) menyumbangkan $6,000 untuk Dana Bantuan COVID-19 yang disampaikan oleh wakil, Hoh Thian Chai dan Blie Castle Enterprise pula menyumbang 40 botol pensanistasi tangan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Dayang Noor Azimah binti Haji Daud.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan.

YAM Pengiran Anak Khairul Khalil dan Dayang Fauziah menyerahkan sumbangan pakaian PPE kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri.