Sumbangan untuk masjid, surau, balai ibadat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menerima sebanyak 250 termometer, lebih 600 botol cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan pelbagai barangan kebersihan lain bagi keperluan masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

Sumbangan daripada pelbagai pihak itu diterima oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali pada majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat JHEM, Sumbiling, hari ini.

Majlis menyaksikan Kementerian Kesihatan menyumbangkan sebanyak 200 termometer dan 500 botol hand sanitizer manakala itu, 50 termometer lagi disumbangkan oleh hamba Allah.

Syarikat Rabiah binti Matahir Sdn Bhd pula menyumbangkan 96 botol pencuci tangan dan Syarikat Bokkitta Hijab Lumut menyumbangkan 44 botol LEO Bleach, 28 botol Leo Toilet Cleaner dan 12 botol hand sanitizer.

Selain itu, sebanyak 108 sabun hand sanitizer telah disumbangkan oleh kumpulan wakaf perseorangan dan Syarikat HSAF Securecomm Brunei telah menyumbangkan sebanyak 100 botol hand sanitizer dan 100 botol sabun pencuci tangan.

Sumbangan daripada hamba Allah yang lain termasuk 19 botol Clorox, 20 botol sabun pencuci tangan, 10 botol Dettol 550ml, 20 botol hand sanitizer, 18 botol Harpic dan 22 helai tuala.

Pengiran Haji Haslin menerima sumbangan daripada salah satu penyumbang. – Gambar serahan JHEM