Sumbangan vaksin tanda jalinan persahabatan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Sebagai simbol terbaharu persahabatan yang sekian lama terjalin antara Jepun dan Negara Brunei Darussalam, kerajaan Jepun hari ini menyerahkan sebanyak 100,000 dos vaksin AstraZeneca yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), malam ini.

Majlis penyerahan itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, sebagai wakil kerajaan Brunei dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto sebagai wakil pihak kerajaan Jepun.

TYT Eiji Yamamoto melahirkan ucapan rasa hormat ke atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memerangi pandemik COVID-19.

Beliau turut berbesar hati atas usaha berterusan dan dedikasi kepada semua petugas barisan hadapan termasuk doktor, pekerja perubatan, anggota tentera dan pekerja yang berkepentingan dalam memastikan semua selamat daripada pandemik ini.

Selama lebih dari setengah abad, Negara Brunei Darussalam telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan ekonomi Jepun melalui bekalan minyak dan LNG, jelasnya lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan TYT Eiji Yamamoto semasa majlis penyerahan sumbangan vaksin di LTAB.
Sebanyak 100,000 dos vaksin AstraZeneca sumbangan kerajaan Jepun selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, semalam.

“Setelah berlakunya gempa bumi besar di Timur Jepun pada 10 tahun yang lalu, Brunei terus memberikan sokongan kepada rakyat Jepun yang tidak dapat dilupakan,” jelasnya.

Sekarang, giliran Jepun untuk membalas sokongan yang telah diberikan dan seterusnya berharap dengan sumbangan vaksin akan dapat membantu masyarakat Brunei untuk terus dilindungi dan menyumbang untuk mencapai matlamat vaksinasi Brunei.

“Dengan sumbangan vaksin itu juga, diharap akan dapat membantu Brunei mencapai 70 peratus imuniti rakyat dan berharap, kita akan dapat menyambung semula pelbagai pertukaran antara kedua-dua buah negara termasuk penerbangan terus dan pelancongan,” jelasnya.

Di samping sumbangan vaksin, turut dibekalkan 50,000 pelitup muka N95, simpanan stok daripada Yayasan Asia-Eropah yang dibiayai oleh Jepun, sebagai sumbangan baik daripada kerajaan Jepun.

Di samping itu, jelasnya, Jepun juga menghulurkan Bantuan Geran Kecemasan bernilai kira-kira AS$800,000 kepada Negara Brunei Darussalam termasuk peralatan perubatan menerusi Pertubuhan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Saya menyatakan solidariti penuh saya dengan orang-orang Brunei selama ini dan marilah kita, rakyat Jepun dan Brunei, bekerjasama untuk mengatasi cabaran yang pernah terjadi sebelumnya dan membangun masa depan pasca wabak,” tambahnya.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1984, Negara Brunei Darussalam dan Jepun terus menikmati jalinan kerjasama yang erat dan mesra dalam bidang-bidang berkepentingan.

Mengenai kerjasama COVID-19, Jepun akan memberi bantuan bekalan perubatan dan cold chain equipment melalui inisiatif Emergency Grant Aid to Improve Cold Chain.

Negara Brunei Darussalam dan Jepun terus bekerjasama rapat dalam isu-isu serantau.

Sebagai rakan dialog yang penting, Jepun telah menyatakan komitmen untuk mengeratkan lagi kerjasama strategik ASEAN-Japan. Jepun juga telah memberikan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada COVID-19 ASEAN Response Fund dan sumbangan sebanyak AS$50 juta bagi penubuhan ASEAN Centre for Public Health Emergencies and Emerging Diseases (ACPHEED).