Sumbangan Yayasan demi kesejahteraan jemaah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah menyampaikan sumbangan berjumlah $50,000 kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dihasratkan dapat membantu dalam penjagaan kebersihan masjid, surau dan balai ibadat untuk menjamin kesejahteraan jemaah.

Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Juga hadir pada majlis yang berlangsung di Bangunan Tambahan KHEU itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Sumbangan berkenaan adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur. Ia juga sebagai sokongan Yayasan terhadap langkah-langkah penjagaan dan keselamatan dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menyerahkan replika cek sumbangan berjumlah $50,000 daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. Sumbangan dihasrat dapat membantu dalam penjagaan kebersihan masjid, surau dan balai ibadat untuk menjamin kesejahteraan para jemaah.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bergambar ramai semasa majlis penyampaian sumbangan tersebut. – Gambar oleh Rokiah Mahmud