Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumber alam jadi pendapatan penduduk ‘Tip Of Borneo’

    KUDAT – Penduduk yang tinggal di sekitar Tanjung Simpang Mengayau atau turut dikenali sebagai ‘Tip of Borneo’, bukan sahaja beruntung kerana berada berhampiran pusat peranginan yang indah, tetapi juga bertuah kerana mampu menjana pendapatan daripada hasil laut.

    Seorang penduduk Norhayati Sharifftara, 40, berkata dia dan suaminya Nolsa Nasbin, 48, mencari rezeki dengan menjual kulit cengkerang yang diperoleh dari pulau di kawasan itu sejak tiga tahun lepas.

    Katanya kulit cengkerang pelbagai jenis dan saiz itu dijual di sebuah gerai di tepi laluan masuk ke Tanjung Simpang Mengayau, berhampiran rumah mereka.

    “Isinya kami ambil kerana boleh dimakan manakala kulitnya kami jual. Sebelum dijual, kulit itu perlu direndam semalaman dalam cecair peluntur untuk menghilangkan kotoran yang melekat dan di-keringkan selama seminggu,” katanya kepada media.

    Anak jati kampung Simpang Mengayau itu berkata kulit cengkerang tersebut dijual pada harga RM15 hingga RM30 dan mereka mampu meraih hingga RM100 sehari, bergantung kepada jumlah pengunjung.

    Penjual cengkerang siput, Norhayati Sharifftara dan suaminya Nolsa Nasbin, menunjukkan cengkerang siput yang dijual di pondok kecil di tepi pantai Tanjung Mengayau. –Bernama
    Pemandangan udara Tanjung Simpang Mengayau, juga dikenali dengan nama ‘Tip of Borneo’. – Bernama
    Pelbagai jenis cengkerang siput laut yang dijual Norhayati Sharifftara di pondok kecil pantai Tanjung Mengayau. – Bernama

    Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tiga Papan, Donny Antok, 44, berkata Tanjung Simpang Mengayau turut memberi rezeki kepadanya melalui hasil tangkapan ikan.

    Donny berkata dia sering mengunjungi kawasan itu bersama dua rakannya untuk memancing ikan.

    “Biasanya kami datang ke sini bergantung kepada keadaan cuaca, kalau cuaca baik dapat juga ikan yang kemudian kami jual,” katanya.

    Tanjung Simpang Mengayau yang merupakan bahagian paling utara negeri Sabah terletak dalam daerah Kudat iaitu kira-kira 190 kilometer dari Kota Kinabalu.

    Kawasan itu menjadi tarikan pelancong kerana merupakan titik pertemuan Laut Sulu dan Laut China Selatan selain menawarkan pemandangan yang indah ketika matahari terbit dan terbenam.

    Pengunjung lazimnya akan merakamkan kenangan mereka di situ dengan bergambar di depan sebuah glob gangsa yang dibina sebagai mercu tanda dan dirasmikan pada Julai 2004. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda