Sumber jangkitan kluster belum dikenal pasti

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Kementerian Kesihatan tidak pasti mengenai sumber jangkitan bagi kluster-kluster baharu COVID-19 di Brunei Darussalam.

“Setentunya terdapatnya pelanggaran. Dua titik (points) yang paling lemah adalah sempadan dan juga bahagian kemasukan seperti perhotelan dan sebagainya. Kami perlu menemu duga mereka ini beberapa kali untuk memastikan di mana keberadaan mereka.

“Dan jika ada sebarang maklumat mengenai jalan tikus, ianya sangat membantu,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Seperti yang saya katakan, virus itu tidak wujud sendirinya. Ia mesti datang dari suatu tempat sama ada melalui sempadan atau pelanggaran SOP,” tegas beliau lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan Kementerian Kesihatan mengkaji untuk memberikan vaksin para pelajar yang berumur bawah 18 tahun memandangkan negara merekodkan beberapa kes positif COVID-19 yang melibatkan para pelajar atau kanak-kanak, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa buat masa ini, orang dewasa berusia 18 tahun ke atas perlu divaksin seramai mungkin.

“Vaksin juga buat masa ini tidak mencukupi. Kita masih menunggu penghantaran daripada vaksin Pfizer misalnya. Tapi apa sahaja yang kita ada, kita perlu memvaksinasi sebanyak yang mungkin.

“Kemungkinan untuk melakukannya ada. Ada beberapa negara sudah melakukannya, tapi kita perlu menilai secara teliti kesan dalam melakukan ini (memvaksinasi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah), akan tetapi kemungkinan memang ada,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai garis panduan di pusat-pusat pemantauan memandangkan terdapat kes yang berkaitan dengan pusat-pusat tersebut, beliau berkata, “Kebarangkalian ada terjadinya pelanggaran (breach) di sana (pusat pemantauan), oleh yang demikian kami perketatkan lagi dan menambah orang lagi untuk memantau.

“Dan ada juga pemikiran sama ada kita kurangkan tempat pemantauan ini untuk beberapa buah sahaja agar senang memantau, oleh yang demikian ia juga ada dalam perancangan,” ujarnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani