Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Sumpah yang mengundang risiko hilang keberkatan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Perkataan sumpah lazimnya dilafazkan oleh sebilangan orang untuk menguatkan percakapan terutama dalam menyatakan perkara yang benar.

    Namun adakalanya juga sumpah digunakan bagi menguatkan atau mempertahankan perkara yang tidak benar.

    Sumpah daripada jenis kedua ini dinamakan dengan sumpah ghamus iaitu sumpah palsu.

    Apakah sebenarnya sumpah ghamus ini dan apa pula hukum melafazkannya? Adakah melafazkan sumpah ghamus ini tidak mendatangkan dosa dan tidak dikenakan kaffarah, atau dalam erti kata lain tidak memberikan kesan apa-apa? Bagi menjawab persoalan-perosalan tersebut akan diterangkan apakah sebenarnya sumpah ghamus itu dan hukum yang berkaitan dengannya.

    Pengertian sumpah ghamus
    Sumpah dari segi istilah ialah menguatkan atau mengesahkan sesuatu yang belum pasti, sama ada berkaitan dengan sesuatu yang berlaku pada masa lalu atau akan datang, untuk memperakukan ataupun menafikan tentang kemungkinan berlakunya ataupun tidak mungkin berlaku, sama ada perkara itu benar ataupun dusta, dan sama ada orang yang bersumpah itu benar mengetahui mengenai perkara itu ataupun tidak mengetahuinya.

    Adapun sumpah yang dilafazkan oleh seseorang mengenai suatu perkara yang telah lalu yang tidak benar dan dia mengetahui akan kebohongannya maka sumpah tersebut dinamakan sumpah ghamus.

    Terdapat sebilangan dari peniaga atau pedagang kadang-kadang suka melafazkan sumpah semata-mata untuk melariskan barangan jualannya. – Bernama

    Ia dinamakan dengan sumpah ghamus kerana perkataan ghamus itu berasal dari perkataan gamasa yang bererti ‘membenamkan’. Maka orang yang bersumpah ghamus itu akan membenamkan dirinya ke dalam dosa dan api neraka.

    Perkataan sumpah
    Sumpah tidak sah dilakukan kecuali dengan zat Allah seperti wallahi, atau sifat bagi-Nya seperti wa Rabbil‘alamin atau semua nama yang khusus bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti wa Maliki yaumiddin.

    Maka bersumpah dengan selain zat Allah, sifat-sifatNya dan nama khusus bagi Allah seperti bersumpah dengan nama Nabi, Ka‘bah atau Jibril adalah tidak sah.

    Begitu juga, sumpah hendaklah dilafazkan dengan menggunakan huruf-huruf yang khusus. Huruf-huruf tersebut ada tiga: Huruf ba’ seperti “billahi”, huruf waw seperti “wallahi” dan ta’ seperti “tallahi”. Oleh itu, jika seseorang bersumpah dengan berkata: “Wallahi, aku bersumpah akan melakukan perkara itu” maka yang demikian itu dikira sebagai sumpah.

    Hukum sumpah ghamus
    Sumpah dihukumkan sebagai dianggap tidak sah jika sumpah tersebut dilafazkan tanpa disengajakan umpamanya orang yang tersasul melafazkan sumpah ketika dalam keadaan yang sangat emosi atau dalam keadaan marah. Sebagaimana firman Allah yang tafsirnya:

    Allah tidak mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah) tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang kamu maksudkan untuk bersumpah. (Surah al-Maidah: 89)

    Akan tetapi sungguhpun begitu, sumpah ghamus ataupun sumpah palsu apabila dilafazkan, ia tetap dikira sebagai sumpah mun‘aqid iaitu sumpah yang sah.

    Sebagai contoh, seseorang bersumpah tentang berlakunya sesuatu perkara namun sebenarnya perkara itu tidak berlaku, atau bersumpah tentang sesuatu perkara yang tidak berlaku namun sebenarnya berlaku, maka sumpah seperti ini adalah dikira sah dan dihukumkan sebagai haram dan berdosa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai alat tipu daya di antara kamu, yang menyebabkan tergelincirnya kaki (kamu) sesudah (ia berdiri) tegak dan kamu akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu telah menghalangi (orang lain) daripada jalan Allah, dan bagi kamu azab yang besar (di akhirat kelak). (Surah an-Nahl: 94)

    Hal ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala murka kepada orang yang bersumpah palsu itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa yang bersumpah di atas satu sumpah sedang dia berdusta dengannya (sumpah itu) untuk mendapatkan dengannya (sumpah itu) harta seseorang Islam, nescaya dia bertemu dengan Allah dalam keadaanNya murka kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Berdasarkan hadis di atas, adalah jelas bahawa bersumpah dengan nama Allah di atas perkara yang tidak benar adalah dikira sah tetapi mendatangkan dosa besar terhadap pelakunya.

    Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi peringatan mengenai sumpah ghamus ini dan mengkategorikannya sebagai dosa besar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Dosa-dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, menderhakai kedua ibu-bapa, membunuh diri dan bersumpah ghamus (palsu).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Hadis ini menerangkan dengan jelas bahawa dosa besar selepas syirik itu ada tiga iaitu menderhakai kedua ibu-bapa, membunuh diri dan bersumpah ghamus (palsu).

    Bersumpah dalam jual beli
    Terdapat sebilangan daripada peniaga atau pedagang kadang-kadang suka melafazkan sumpah semata-mata untuk melariskan barangan jualannya.

    Melafazkan sumpah bagi melariskan dagangan itu, jika tidak dilakukan dengan betul, boleh mendatangkan risiko yang tidak baik. Antaranya peniaga akan kehilangan berkat dalam jual belinya.

    Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    Aku mendengar Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sumpah itu dapat melariskan dagangan dan juga boleh menghilangkan keberkatan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala mensyarahkan hadits di atas dengan berkata: Hadis ini mengandungi tentang larangan banyak melafazkan sumpah dalam berniaga atau berdagang. Maka sesungguhnya bersumpah tanpa sebarang hajat hukumnya adalah makruh. Dan sumpah itu terkandung di dalamnya unsur-unsur untuk melariskan barang jualan. Para pembeli boleh saja terpedaya dengan lafaz sumpah itu.

    Dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa orang yang mengutamakan keuntungan dunia dan memperjual-belikan sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat rahmat di akhirat iaitu Allah tidak menyapa, tidak memandang dan tidak mengampunkan dosa mereka bahkan akan mengazab mereka dengan azab yang pedih sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    Sesungguhnya orang-orang yang menukarkan janji Allah dan (memperjual-belikan) sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak akan mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan menyapa mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan menyucikan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih. (Surah Ali ‘Imran: 77)

    Orang yang bersumpah palsu ketika berjual beli akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Abu Dzarr berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membacanya tiga kali.” Abu Dzarr berkata: “Mereka telah kecewa dan rugi, siapakah mereka wahai Rasullullah?” Baginda bersabda: “Orang yang melabuhkan pakaiannya, pengungkit (pemberian), dan orang yang mela-riskan barangannya dengan sumpah dusta. (Hadits riwayat Muslim)

    Kaffarah sumpah
    Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini sumpah ghamus adalah termasuk sumpah yang dikira sah.

    Namun perlu diambil perhatian, sesiapa yang bersumpah ghamus telah pasti dia melanggar sumpahnya itu maka wajib dia membayar kaffarah sumpah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Yang demikian itu adalah kaffarah sumpah kamu apabila kamu bersumpah. (Surah al-Maidah: 89)

    Dalam ayat yang lain Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    Allah tidak mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang kamu maksudkan oleh hati kamu. Dan Allah itu Pengampun, lagi Maha Penyantun. (Surah al-Baqarah: 225)

    Oleh itu, sesiapa bersumpah ghamus, telah pasti dia melanggar sumpahnya dan wajib ke atasnya membayar kaffarah. Sumpah ghamus merupakan dosa besar sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma yang disebutkan sebelum ini.

    Kaffarah bagi orang yang melanggar sumpah disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui firmanNya yang tafsirnya:

    Maka kaffarahnya ialah memberi makan 10 orang miskin dari makanan yang sederhana yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba.

    Maka sesiapa yang tidak dapat melakukannya, (kaffarahnya) hendaklah berpuasa tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarah sumpah kamu apabila bersumpah. Dan peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu bersyukur. (Surah al-Maidah: 89)

    Orang yang hendak melaksanakan kaffarah sumpah diberikan pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan 10 orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka.

    Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffarahnya.

    Oleh yang semikian, perlu diingat bahawa sumpah bukanlah lafaz yang dapat diucapkan dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana sumpah itu adakalanya boleh mendatangkan dosa kepada pelakunya dan dikenakan membayar kaffarah. Selain itu, bersumpah juga mempunyai risiko menghilangkan keberkatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...