Thursday, November 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Sunak bakal jadi PM UK

    LONDON, 24 OKT – Ahli Konservatif British Rishi Sunak hari ini dijangka menjadi perdana menteri dan pemimpin keturunan Hindu pertama negara itu, selepas keputusan dramatik Boris Johnson untuk meninggalkan kempen politik itu.

    Hanya beberapa minggu selepas gagal dalam percubaan pertama untuk mengetuai parti pemerintah Tories, Sunak boleh mencatat perubahan nasib dengan memenangi kepimpinan seawal petang hari ini, berikutan tindakan yang tidak dijangka oleh bekas perdana menteri Johnson lewat kelmarin.

    Pertandingan yang dicetuskan oleh peletakan jawatan pemimpin Liz Truss baru-baru ini, memerlukan calon untuk mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 100 Ahli Parlimen Konservatif menjelang 2:00 petang (1300 GMT) hari ini.

    Sunak, berasal dari pendatang keturunan Hindu yang kaya dari India dan Afrika Timur, telah melepasi tarikh akhir pada malam Jumaat, sebelum mengisytiharkan pencalonannya kelmarin dan berjaya mengumpulkan hampir 150 pencalonan awam daripada ahli parlimen Tory.

    Penarikan Johnson daripada kempen – sebelum dia sempat mengumumkan pencalonannya secara rasmi – telah meninggalkan Penny Mordaunt satu-satunya pencabar lain.

    Gambar fail menunjukkan calon kepimpinan Parti Konservatif Rishi Sunak meninggalkan pejabat kempen di London. – AP

    Tetapi penyokong Sunak hari ini segera menegaskan bahawa bekas menteri kewangan itu tidak mengandaikan bahawa dia bakal menerajui tampuk pentadbiran.

    “Dia bercakap dengan rakan sekerja pagi ini, dia bekerja keras untuk menarik penyokong yang mungkin bersama Boris Johnson sebelum ini,” kata menteri dalam negeri Grant Shapps.

    Mordaunt dijangka menerima tekanan yang hebat untuk meninggalkan bidaan kepimpinannya dan menamatkan persaingan dengan lebih awal ketika Britain bergelut dengan pelbagai krisis.

    Jika calon berusia 49 tahun itu memberikan saingan dan mampu meraih 100 pencalonan, kempen tersebut akan diputuskan oleh kira-kira 170,000 ahli parti menerusi undian dalam talian, dengan keputusan akan diumumkan pada Jumaat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia buat permohonan maaf kepada mangsa thalidomide

    SYDNEY, 29 NOV - Australia hari ini mengeluarkan permohonan maaf kepada mangsa yang terselamat daripada skandal ubat thalidomide, yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Anthony...