Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sunat berpindah tempat antara dua sembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri satu

    Seseorang yang mendirikan sembahyang di masjid, baik secara sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum, sesudah selesai menunaikan sembahyangnya dan dia mahu mengerjakan sembahyang fardu ataupun sunat rawatib dan selainnya, adalah sunat baginya untuk berpindah daripada tempat sembahyangnya yang pertama ke tempat lain untuk mengerjakan sembahyang yang seterusnya.

    Cara lain yang dianjurkan bagi memisahkan di antara kedua-dua sembahyang itu adalah memadai juga dengan percakapan. Penjelasan mengenai kedua-dua cara ini adalah seperti berikut.

    Memisahkan di antara dua sembahyang

    Hukum berpindah tempat untuk memisahkan di antara dua sembahyang adalah sunat. Dalil dalam perkara ini adalah berdasarkan larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap perbuatan menyambung dua sembahyang.

    Diriwayatkan bahawa Nafi‘ bin Jubair telah mengutus ‘Umar bin ‘Atha’ pergi kepada as-Sa’ib Radhiallahu ‘anhum, anak lelaki kepada saudara perempuan Namir, untuk menanyakan kepada as-Sa’ib mengenai suatu perkara atau perbuatan yang pernah dilihat dilakukan oleh Mu‘awiyah Radhiallahu ‘anhu dalam sembahyang:

    As-Sa’ib berkata: “Benar. Aku pernah sembahyang Fardhu Jumaat bersama-sama Mu‘awiyah dalam maqshurah (satu bilik kecil dalam masjid). Setelah imam memberi salam, aku pun berdiri pada tempat (yang sama) aku sembahyang, kemudian aku menunaikan sembahyang (sunat). Ketika Mu‘awiyah masuk, dia mengutus seseorang kepadaku dan utusan itu pun berkata: “Jangan kamu ulangi apa yang telah kamu lakukan tadi. Jika kamu telah selesai menunaikan sembahyang Jumaat, maka jangan kamu sambungkannya dengan sembahyang (lain di tempat yang sama) sehinggalah (terlebih dahulu) kamu bercakap sesuatu atau keluar (beredar daripada tempat itu).” Kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan kami dengan cara demikian, iaitu tidak menyambung sembahyang dengan sembahyang (yang lain di tempat yang sama) sehinggalah kami (terlebih dahulu) bercakap sesuatu atau kami keluar.” (Hadis riwayat Muslim)

    Hadis di atas jelas menunjukkan adanya larangan menyambung dua sembahyang tanpa diselangi sekurang-kurangnya kata-kata ataupun dipisahkan dengan perbuatan keluar atau berpindah dari tempat sembahyang pertama.

    Sunat bagi seseorang yang mendirikan sembahyang di masjid untuk berpindah daripada tempat sembahyangnya yang pertama ke tempat lain untuk mengerjakan sembahyang yang seterusnya.

    Memisahkan di antara dua sembahyang dengan percakapan

    Berdasarkan dalil daripada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai tegahan atau larangan menyambung dua sembahyang, sekiranya seseorang itu tidak berpindah dari tempat sembahyangnya yang pertama, maka memadailah dia memisahkan di antara dua sembahyangnya itu dengan percakapan.

    Oleh yang demikian, adalah memadai jika dipisahkan di antara sembahyang pertama dan seterusnya dengan percakapan, sekalipun yang tidak difahami, ataupun dengan mengucapkan lafaz yang boleh membatalkan sembahyang. Ini termasuklah dzikir seperti bertasbih, berdehem yang membatalkan sembahyang atau membaca ayat al-Qur‘an. Akan tetapi tidak memadai memisahkan kedua sembahyang tersebut dengan dzikir dan doa yang tidak dilafazkan (tanpa suara).

    Memisahkan dua sembahyang dengan berpindah tempat

    Menurut ulama adalah disunatkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang sunat setelah sembahyang fardu supaya berpindah daripada tempat dia mengerjakan sembahyang fardu. Begitu juga sebaliknya, disunatkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang fardu supaya berpindah daripada tempat dia mengerjakan sembahyang sunat.

    Demikianlah seterusnya, sunat dia berpindah tempat bagi setiap sembahyang yang dikerjakannya sama ada sembahyang qada ataupun sunat.

    Begitulah juga yang dilakukan untuk memisahkan setiap dua rakaat sembahyang sunat yang hendak dikerjakannya betapa pun banyaknya. Bagaimanapun untuk mengerjakan sembahyang yang ke tiga misalnya, adalah memadai sekiranya dia kembali semula ke tempat sembahyangnya yang pertama. Sungguhpun demikian, terdapat beberapa pengecualian dalam perkara ini, iaitu tidak disunatkan untuk berpindah, sepertimana yang akan dijelaskan kemudian.

    Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan seseorang yang hanya menetap pada satu tempat atau sudut tertentu sahaja di dalam masjid tanpa berpindah-pindah hukumnya adalah makruh, kecuali bagi imam, iaitu tidak dihukumkan makruh baginya untuk hanya menetap di mihrab tanpa berpindah-pindah daripadanya.

    Melakukan sembahyang sunat selesai sembahyang fardu

    Seseorang yang selesai daripada sembahyang fardu di masjid, kemudian dia hendak mengerjakan lagi sembahyang sunat, iaitu yang tidak disunatkan berjemaah, adalah sunat, malahan afdal baginya untuk mengerjakan sembahyang sunat tersebut di rumahnya.

    Perkara ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Sembahyanglah kamu wahai manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya sembahyang yang afdal ialah sembahyang seseorang (yang dikerjakan) di rumahnya melainkan sembahyang fardhu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Berdasarkan hadis di atas, hukum mengerjakan sembahyang sunat di rumah selepas mengerjakan sembahyang fardu di masjid adalah afdal secara mutlak berbanding mengerjakan sembahyang sunat di masjid.

    Mengerjakan sembahyang sunat di rumah adalah afdal sekalipun bagi mereka yang berada di Masjidil Haram (Makkah), Masjid al-Madinah, Masjid al-Aqsa atau masjid selainnya berdasarkan keumuman hadits di atas. Oleh yang demikian, dapat difahami di sini kadang-kala sesuatu yang banyak ganjaran pahala itu tidak bererti merupakan keutamaan atau menjadi pilihan.

    Perkara ini dikuatkan lagi oleh hadits shahih riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Jika seseorang daripada kamu telah menunaikan sembahyang fardu di masjidnya, maka peruntukkanlah bagi rumahnya satu bahagian daripada sembahyang sunatnya itu.

    Sesungguhnya Allah memperuntukkan bagi rumahnya kebaikan (yang banyak dan hebat) disebabkan sembahyangnya itu.” (Hadis riwayat Muslim)

    Dalam hadis di atas, sembahyang yang ditunaikan di masjid adalah sembahyang fardu secara berjemaah. Manakala sembahyang yang diperuntukkan di rumah atau tempat tinggal adalah sembahyang sunat. Dengan ini tertunailah hak setiap tempat yang di-sebutkan itu, iaitu sembahyang fardu di masjid, manakala sembahyang sunat pula di tempat kediamannya.

    Antara sebab mengapa dituntut (sunat), malahan afdal untuk berpindah dan tidak menetap di tempat yang sama adalah kerana dengan berpindah itu akan memperbanyakkan tempat sujud orang yang sembahyang itu. Tempat atau kedudukan yang kedua itu pula akan menjadi saksi baginya pada hari Qiamat sebagaimana tempat sembahyang yang pertama menjadi saksi baginya. Di samping itu, dengan berpindah tempat sembahyang bermakna dia menghidupkan tempat-tempat yang lain itu dengan ibadat.

    Oleh yang demikian, seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang sunat, selepas sembahyang fardhu ataupun sunat lain, adalah digalakkan berpindah ataupun mengubah kedudukannya ke tempat lain dari tempatnya yang awal. Sekiranya dia tidak berpindah umpama seseorang yang telah mengerjakan sembahyang fardhu di masjid dan dia tidak pulang ke rumahnya, kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat dalam masjid, maka sunat baginya berpindah sedikit daripada tempat sembahyangnya ke tempat atau bahagian lain dalam masjid.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...