Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Sunat berpindah tempat di antara dua sembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Siri dua

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Hikmah sembahyang sunat dikerjakan di rumah
    Hikmah daripada suruhan mengerjakan sembahyang sunat di rumah masing-masing adalah untuk menjauhkan diri daripada riya’ dan juga disebabkan amalan yang dikerjakan di rumah adalah lebih tersembunyi, terpelihara daripada amalan yang sia-sia disebabkan tidak diterima (ditolak) oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Malahan hukumnya adalah sunat mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat di rumah, iaitu sembahyang yang tidak disunatkan berjemaah, berbanding mengerjakannya di masjid sekalipun dia aman ataupun selamat daripada riya’.

    Selain itu, galakan dan tuntutan untuk mengerjakan sembahyang sunat di rumah adalah untuk mendapatkan keberkatan kepada rumah dan ahli keluarga di dalamnya dengan sembahyang sunat, diturunkan rahmat dan para Malaikat masuk ke dalam rumah, sementara syaitan pula lari menjauhkan diri daripada rumah itu. Inilah antara maksud daripada kebaikan yang banyak dan hebat seperti yang disebutkan dalam hadits di atas.

    Ternyatalah ‘illah atau sebab mengapa sembahyang sunat dituntut dikerjakan di rumah sekalipun masjid itu sunyi, tiada orang atau jemaah, bukan hanya kerana untuk mengelakkan riya’ semata-mata, akan tetapi juga untuk mendapatkan keberkatan sembahyang tersebut kepada rumah dan ahli keluarga orang yang melaksanakan sembah-
    yang itu.

    Melakukan sembahyang sunat di masjid
    Setelah penjelasan mengenai tuntutan dan afdhalnya sembahyang sunat dikerjakan di rumah masing-masing, hukum seseorang yang mengerjakan sembahyang sunat di masjid pula adalah harus, akan tetapi menyalahi yang afdhal.

    Hukum seseorang yang mengerjakan sembahyang sunat di masjid pula adalah harus, akan tetapi menyalahi yang afdhal.

    Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa beliau sendiri pernah sembahyang sunat (di masjid) bersama Baginda.

    Tambahan daripada itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengerjakan sembahyang sunat, selain sembahyang fardhu, di masjid pada malam-malam Ramadhan.

    Pengecualian
    Sembahyang sunat, secara mutlak, adalah afdhal dikerjakan di rumah berbanding dikerjakan di masjid bagi mereka yang tidak beriktikaf di masjid. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu sembahyang sunat afdhal dikerjakan di masjid dan tidak afdhal berpindah ke rumah atau tempat tinggal untuk mengerjakannya sepertimana penjelasan berikut:

    1. Bagi mereka yang beriktikaf dalam masjid dan mereka yang duduk di dalam masjid untuk menuntut ilmu atau mengajarkan ilmu.

    2. Bagi mereka yang tidak mahu mengakhirkan atau melewatkan sembahyang sunat tersebut sehingga pulang ke rumah kerana ditakuti akan luput waktu sembahyang rawatib disebabkan sudah kesempitan masa, atau disebabkan tempat tinggal yang jauh, atau ditakuti dia akan meringan-ringankannya apabila tiba di rumah sehingga tidak melaksanakannya.

    3. Sembahyang sunat yang disunatkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid seperti sembahyang sunat Tarawih, Istisqa’, sembahyang sunat dua Gerhana, iaitu matahari dan bulan, sembahyang sunat dua Hari Raya, iaitu hari raya ‘Eid al-Fithri dan ‘Eid al-Adhha. Kesemua sembahyang sunat ini adalah afdhal dikerjakan di masjid berbanding di rumah.

    4. Sembahyang sunat yang dilaksanakan di masjid seperti sembahyang Dhuha, sembahyang Istikharah, sembahyang memulakan musafir (pelayaran), sembahyang kembali daripada musafir, sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu Jumaat (qabliyyah) kerana ia afdhal dikerjakan di masjid disebabkan adanya suruhan dan untuk merebut fadhilat dengan segera awal datang ke masjid bagi sembahyang fardhu Jumaat, sembahyang sunat dua rakaat Ihram jika terdapat masjid pada kawasan miqat seseorang dan sembahyang sunat Thawaf.

    5. Sembahyang sunat qabliyyah Maghrib serta sembahyang rawatib qabliyyah yang lainnya apabila telah masuk waktunya dan pada ketika itu dia sudahpun berada di masjid. Oleh itu, janganlah seseorang itu beredar atau berpindah keluar daripada masjid untuk mengerjakan sembahyang sunat tersebut.

    Ini kerana para jemaah diperintahkan untuk bersegera datang untuk sembahyang dan mendapatkan saf yang awal.

    Lebih-lebih lagi perbuatan berpindah tempat setelah saf-saf tersusun dan terisi merupakan satu kesulitan khususnya apabila bilangan jemaah yang bersembahyang adalah ramai sepertimana dalam sembahyang fardhu Jumaat.

    Adapun sembahyang sunat selepas sembahyang fardhu Jumaat (ba‘diyyah), maka ia afdhal dikerjakan di rumah.

    Dapat difahami bahawa perbuatan berpindah ke tempat lain untuk mengerjakan sembahyang sunat hanya sunat dilakukan dengan syarat perbuatan itu tidak menyebabkan terluput sesuatu fadhilat (kelebihan), umpamanya luput fadhilat saf awal dan kedudukan yang berhampiran atau berdekatan dengan imam ataupun boleh menyebabkan kesulitan dan pelanggaran saf-saf yang lain.

    Sembahyang Subuh
    Pengecualian juga termasuk sembahyang fardhu Subuh. Selain daripada berpindah daripada tempat dia sembahyang sunat Subuh (sunat Fajar) untuk mengerjakan sembahyang fardhu Subuh atau dengan berdzikir dan membaca ayat al-Qur’an, cara yang afdhal memisahkan di antara sembahyang fardhu Subuh dengan sembahyang sunat Subuh (sunat Fajar) ialah dengan berbaring, dan adalah awla (lebih utama) secara mengiring ke sebelah (bahu) kanan kerana bahagian ini adalah yang afdhal.

    Perkara ini adalah berdasarkan ittiba‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam).

    Tambahan pula muka dan bahagian depan badan akan menghadap ke arah qiblat sepertimana keadaannya di dalam kubur, kerana ini akan lebih mengingatkan seseorang itu kepada kematian, lalu dia akan berusaha melakukan amalan-amalan saleh dan bersiap-sedia untuk menghadapi kematian.

    Ini berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau telah berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh di rumah), Baginda berbaring (mengiring) di atas bahu kanan Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Sebelum berbaring, iaitu setelah selesai sahaja mengerjakan sembahyang sunat Subuh, sebahagian ulama menganjurkan untuk membaca doa berikut sebanyak tiga kali yang maksudnya:

    Ertinya: “Ya Allah! Tuhan Jibril, Israfil, Mika’il dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berlindung denganMu daripada api neraka.”

    Selain itu apabila dipisahkan di antara sembahyang fardhu Subuh dan sembahyang sunat Subuh dengan percakapan adalah makruh bercakap mengenai perkara keduniaan.

    Menurut sebahagian ulama muta’akhirin bagi sesiapa yang melakukan dzikir apabila dia selesai sembahyang fardhu Subuh sehingga terbit matahari, tidak disunatkan baginya berpindah. Dengan erti kata lain, hendaklah seseorang itu tetap duduk di tempatnya.

    Ini kerana dalam sebuah hadits telah menyatakan bahawa ganjarannya adalah seperti melakukan satu haji dan satu umrah.

    Perkara ini adalah berdasarkan riwayat oleh Anas Radhiallahu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Sesiapa yang sembahyang Fajar (Subuh) berjemaah kemudian dia duduk berdzikir mengingati Allah sehingga terbit matahari, kemudian dia sembahyang dua rakaat (setelah terbit matahari) adalah baginya ganjaran seperti (mengerjakan) satu haji dan satu umrah.”

    Menurut Anas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “(Baginya haji dan umrah yang) sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Sebagai kesimpulan, seorang munfarid (sembahyang secara sendirian), imam mahupun makmum yang sudah selesai daripada sembahyangnya di masjid dan ingin untuk mengerjakan sembahyang fardhu ataupun sunat yang lain, adalah sunat baginya untuk memisahkan di antara sembahyang yang pertama dan sembahyang yang seterusnya.

    Cara memisahkan di antara kedua-dua sembahyang itu ada dua cara, iaitu dengan berpindah daripada tempatnya sembahyang ke tempat lain, ataupun sekurang-kurangnya diselangi di antara kedua-dua sembahyang itu dengan percakapan.

    Sekiranya dia tidak berpindah atau beredar ke tempat kediamannya, maka memadai juga dengan berpindah sedikit daripada tempat sembahyang yang pertama.

    Bagaimanapun dalam sesetengah keadaan adalah afdhal sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah itu dikerjakan di rumah atau tempat kediaman berbanding dikerjakan di masjid.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...